AIDIL (dua dari kiri) berharap pemain cukup bersedia dalam aksi 90 minit ini dan dapat berikan fokus terbaik mereka dalam memburu tiga mata. FOTO Ihsan KDA FC
AIDIL (dua dari kiri) berharap pemain cukup bersedia dalam aksi 90 minit ini dan dapat berikan fokus terbaik mereka dalam memburu tiga mata. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak akan menganggap tugas mudah dapat dilaluinya meskipun selesa beraksi di laman sendiri apabila berdepan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam esok.

Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, saingan 'Derbi Utara' ini dijangka berulang dengan cukup sengit dan akan memaksa pemainnya bekerja lebih keras demi memastikan kebangkitan memungut tiga mata untuk kembali berada pada kelompok lima pasukan teratas liga menjadi kenyataan.

"Saya memang menjangkakan satu perlawanan yang cukup sengit antara kedua-dua pasukan dan itulah yang selalu kami lalui jika melihat melalui rekod perlawanan yang dilalui sebelum ini, dan ianya tidak mudah buat kami.

"Kemenangan 2-1 pada aksi pertama menentang Penang FC April lalu tidak lagi boleh dijadikan ukuran sebaliknya KDA FC perlu meningkatkan lagi prestasi permainan dan lebih waspada dengan kebangkitan pihak lawan yang turut mengintai mata penuh pada perlawanan kali ini.

"Saya berharap pemain cukup bersedia dalam aksi 90 minit ini dan dapat berikan fokus terbaik mereka dalam memburu tiga mata disamping kelebihan beraksi di laman sendiri yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Aidil juga berkata KDA FC telah melakukan persiapan yang lancar dalam tempoh cuti sebelum kembalinya jadual Liga Super yang akan kembali bermula minggu ini dan berharap semua pemainnya dapat kembali menunjukkan momentum beraksi pada tahap yang terbaik.

"Tempoh cuti rehat yang dilalui ini memberi ruang buat kami untuk mengembalikan tahap kecergasan pada tahap yang disasarkan, disamping itu, kami juga menyusun setiap persiapan mental dan fizikal agar bersedia untuk menyambung jadual aksi liga yang semakin mencabar," katanya.

Kedah sebelum ini berharap dapat mengembalikan gabungan lima importnya selepas kemunculan semula pemain import pertahanan Marc Vales Gonzalez bersama pasukan pada aksi bertemu Sabah FC pada 17 Ogos lalu.

Namun Sang Kenari kini hanya menanti seorang lagi pemain import tengah Dechi Marcel yang kini dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan lutut sejak Julai lalu agar kembali dengan tahap 100 peratus kecergasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 10:53 AM