Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak. FOTO Izzali Ismail
Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Aidil Sharin Sahak menarik nafas lega selepas tahap kecergasan pemain skuad Hijau Kuning kembali meningkat dengan menewaskan Penang FC 4-1 pada saingan Liga Super di laman sendiri malam tadi.

Aidil berkata, peningkatan kemampuan serta tahap kecergasan yang beliau harapkan selama ini kini beransur meningkat berbanding minggu lalu ketika aksi menentang Selangor FC sebaik kembali menyambung aksi liga dengan rehat yang panjang.

"Tahap kecergasan pemain juga telah meningkat pada perlawanan ini berbanding aksi yang lalu kerana sebelum perlawanan menentang Selangor FC minggu lalu, kami hanya berlatih sembilan hari sahaja dan kini kami sudah berlatih lebih lama iaitu selama dua minggu yang mana ianya memberi kesan yang lebih baik buat pasukan.

"Alhamdulillah, saya gembira dengan sumbangan yang ditunjukkan oleh pemain sejak awal perlawanan dan itulah yang membuatkan keputusan empat gol yang terhasil walaupun kami masih berpeluang mendapatkan gol tambahan pada babak kedua.

"Pemain juga dilihat mahu bangkit dengan lebih bersemangat selepas tewas pada perlawanan menentang Selangor di tempat sendiri minggu lalu dan itulah karektor yang ada pada pemain," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pemain KDA FC Rabih Ataya (kanan) diasak oleh pemain Penang FC dalam aksi Liga Super. FOTO Bernama
Pemain KDA FC Rabih Ataya (kanan) diasak oleh pemain Penang FC dalam aksi Liga Super. FOTO Bernama

Aidil bagaimanapun mengakui pasukannya tidak berdepan jalan mudah meskipun pihak lawan turun tanpa beberapa tonggak utama disebabkan tidak dapat beraksi pada pertemuan tetangga utara itu.

"Dalam tempoh 90 minit perlawanan, mereka tetap bermula dengan 11 pemain dengan pemain tempatan muda mereka yang berbakat dan dilihat berkerja keras untuk menunjukkan kemampuan mereka.

"Kami memiliki banyak peluang yang baik dan saya gembira dengan sikap semua pemain, dari segi komitmen dan prestasi ditunjukkan.

"Namun begitu, sudah tentu kami masih ada ruang yang perlu kami diperbaiki seterusnya dan kami perlu bersiap sedia dengan sebaiknya untuk menghadapi perlawanan akan datang menentang Terengganu FC di tempat lawan," katanya.

Sementara itu, rakan sejawat yang membimbing Penang FC, Tomas Trucha menyifatkan kekalahan pasukannya jauh dari apa yang dijangkakan.

Menurutnya, dia terpaksa menggunakan pemain gantian yang boleh mengimbangi kekuatan pasukan selepas ketiadaan beberapa tonggak utama antaranya Casagrande, Endrick Dos Santos, Ryuji Utomo dan Khairu Azrin Khazali.

"Kami tewas kerana kami tidak memiliki 10 pemain terbaik dan buat masa ini jika kami memerlukan pemain yang bagus untuk digantikan maka kami perlukan latihan yang terbaik dan kini dengan beberapa isu kecederaan, hal keluarga maka kami perlu persiapkan pemain yang ada hanya melalui latihan yang terbaik, itulah masalahnya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 12:08 PM