PASUKAN JDT III muncul juara Piala Presiden 2022. FOTO FAM
PASUKAN JDT III muncul juara Piala Presiden 2022. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Sejujurnya saya masih belum berpuas hati dan masih banyak lagi boleh ditingkatkan dalam permainan pasukan dalam Piala Belia dan Piala Presiden".

Itu pandangan dan harapan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed yang percaya tahap permainan pemain muda tempatan boleh ditingkatkan lagi bagi menyamai kualiti dimiliki pasukan peringkat umur seperti Vietnam dan Thailand.

Katanya, secara asas beliau berpuas hati dengan penganjuran dua pertandingan itu yang membabitkan saingan bawah 19 tahun (B-19) untuk Piala Belia, manakala Piala Presiden bagi B-23.

Begitupun, Naib Presiden FAM itu menjelaskan masih terdapat beberapa kekurangan dalam aspek permainan yang boleh dipertingkatkan, sekaligus akan memberi manfaat kepada skuad kebangsaan terutama dalam saingan peringkat belia seperti Piala Asia B-20, Sukan Sea dan Kelayakan Sukan Olimpik.

SELANGOR FC menjuarai Piala Belia. FOTO FAM
SELANGOR FC menjuarai Piala Belia. FOTO FAM

"Saya berpuas hati tetapi banyak lagi kelemahan dalam permainan pasukan bertanding. Misalnya dah tak boleh main dapat bola sepak ja ke depan, dapat ja sepak depan.

"Kena tahu simpan bola dan proses dalam kawasan sendiri, dan menyerang bila tepat pada masanya. Jangan buat hantaran tanpa arah tuju. Dalam pertandingan seperti ini lah, pemain-pemain muda ini tunjukkan bakat dan kualiti yang ada.

"Kita mahu tahap permainan meningkat dan akhirnya ia juga membantu mutu permainan skuad kebangsaan, selain selari dengan misi dan visi F:30 yang digariskan FAM," katanya pada Arena Metro.

Dalam saingan Piala Belia yang berakhir Jumaat lalu, Selangor FC muncul juara selepas menewaskan Sri Pahang FC dengan agregat 2-1 di pentas final yang dilangsungkan secara timbal balik itu.

Kem Sri Pahang FC terus kecewa apabila turut tumbang dalam aksi final Piala Presiden di tangan Johor Darul Ta'zim III yang meraih keputusan 4-2 secara agregat, semalam.

Ujar Firdaus lagi, pasukan dan kelab dinasihatkan agar tidak membazirkan bakat pemain muda ini, dengan beliau mahu melihat transisi kelompok pemain muda diserapkan ke dalam skuad senior.

"Inilah cabaran sebenar selepas berakhirnya Piala Belia dan Piala Presiden, di mana kelab dan persatuan perlu sediakan platform terbaik agar pemain ini terus berada dalam radar bola sepak negara.

"Kita tidak mahu selepas ini mereka hilang begitu saja kerana ia akan merugikan negara. FAM mahu lahirkan 'pool of player' yang banyak agar ia dapat membantu skuad negara suatu hari nanti," katanya yang hadir pada kedua-dua final Piala Belia dan Piala Presiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 2:12 PM