HAMIDIN (kanan) berbincang dengan Palomba (kiri) mengenai kerjasama dengan kelab Serie A itu. FOTO ihsan FAM
HAMIDIN (kanan) berbincang dengan Palomba (kiri) mengenai kerjasama dengan kelab Serie A itu. FOTO ihsan FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Corak permainan ala 'Italiano' berasaskan kekebalan benteng pertahanan bakal menyerap ke dalam skuad Harimau Malaya apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala bersama kelab terkemuka Serie A, Juventus.

Kelab Itali serta pasukan kebangsaan negara itu yang memenangi Piala Dunia sebanyak empat kali diketahui umum memiliki asid deoksiribonukleik (DNA) bola sepak tersendiri, dengan menjadikan corak bertahan seperti kota Rom sebagai identiti mereka.

Malah, formula kejayaan Juventus melahirkan ramai bintang bola sepak dunia seperti Giampiero Boniperti, Antonello Cuccureddu, Alessandro Del Piero dan Gianluigi Buffon boleh dipelajari dan dimanfaatkan FAM dalam mengenengahkan bakat baru.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama bagi memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia.

Beliau berkata, menerusi perbincangan awal bersama delegasi Juventus FC diwakili Pengarah Urusan, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung, menyaksikan pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 (B-17) tahun kebangsaan akan diberi peluang menjalani latihan di akademi Juventus di Turin.

"Juventus berminat dan meninjau peluang untuk membangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat 'junior'.

"Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. Mereka bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

"Juventus inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin," katanya selepas menerima kunjungan hormat dari delegasi itu di Wisma FAM, di Kelana Jaya.

Hamidin bekrata, menerusi perbincangan awal itu, wakil Juventus meninjau potensi untuk membuka akademinya di Malaysia.

"Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

"Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 1:15 PM