INSIDEN tegang berlaku di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
INSIDEN tegang berlaku di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Insiden pergaduhan di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu lalu bukan angkara penyokong Kuala Lumpur City FC (KL City), sebaliknya geng baju hitam yang sengaja memburukkan nama kelab itu.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad yang mengakui membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

Dalam insiden berkenaan, berlaku pergaduhan antara penyokong KL City dan penyokong PSM Makassar di luar pekarangan stadium terbabit selepas berakhir aksi final Piala AFC Zon Asean yang menyaksikan tuan rumah menang 5-2.

"Saya menzahirkan perasaan kecewa dan marah terhadap peristiwa berlaku malam semalam (Rabu) iaitu insiden rusuhan daripada golongan pengacau yang kita tak tahu siapa dan kita membuat laporan polis.

"Kita menyatakan pihak KL City FC, KLFA dan penyokong KL tidak terbabit dalam peristiwa itu sama sekali. Saya anggap ini peristiwa bertujuan memburukkan nama KL City dan KLFA," katanya yang tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu dirancang pihak tertentu dengan mengupah beberapa individu memukul penyokong lawan.

Katanya, pihaknya akan menyenaraihitamkan pihak yang didapati bersalah dalam kejadian itu daripada menghampiri pasukan atau tidak dibenarkan memasuki stadium untuk menyokong skuad The City Boys.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 5:50 PM