PEMAIN JDT gigih berlatih menjelang perlawanan menentang Urawa Reds, malam esok. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN JDT gigih berlatih menjelang perlawanan menentang Urawa Reds, malam esok. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekuatan mental pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) ditagih dalam aksi 'hidup mati' menentang bekas juara dua kali kelab Asia dari Jepun, Urawa Reds di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Saitama, malam esok.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, walaupun baru bersama pasukan pada bulan lalu bagi menggantikan Benjamin Mora yang meninggalkan pasukan atas urusan keluarga, dia mengakui kagum dengan kekuatan mental dimiliki anak buahnya.

Katanya, beliau yakin jika pemain memberi fokus dan tumpuan sepanjang perlawanan, kemenangan mampu memihak skuad kendaliannya.

"Ia pastinya aksi sukar dan kami tahu tentang itu. Sebab itu kami ambilnya secara serius dengan melakukan persiapan sebaik mungkin dan pemain sedia untuk perlawanan ini.

"Kami menekankan mentaliti pemain apabila kami ada skuad yang besar dan mentaliti yang kuat dan pemain cukup fantastik serta seorang insan hebat.

"Jadi kami menekankan kepada pemain betapa pentingnya perlawanan malam esok dan kami akan memperagakan aksi tersendiri nanti," katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Skuad Harimau Selatan melakar kejutan dan sejarah baharu apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan ACL buat pertama kali selepas menjuarai Kumpulan I pada April lalu.

Begitupun, Urawa Reds yang akan ditemui memiliki reputasi hebat di benua ini apabila pernah menjuarai ACL sebanyak dua kali iaitu pada 2007 dan 2017.

Malah, kelab gergasi Asia itu pernah melakar sejarah memenangi tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia Kelab Fifa pada 2007.

Bidoglio berkata, beliau sudah meneliti corak permainan Urawa Reds yang dibimbing pengendali dari Sepanyol, Ricardo Rodriguez itu dan mengakui sudah memiliki strategi tersendiri untuk memerangkap pemain tuan rumah.

"Kami tahu pihak lawan gemar bermain dengan hantaran pendek, memulakan serangan dari tepi hingga atas dan mereka gemar memberi asakan awal.

"Jadi kami akan cuba memenangi bola dan mengawalnya dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 1:56 PM