FAIZAL Azumu (dua kanan) ketika melancarkan Detik 30 Hari menjelang SUKMA XX. FOTO Owee Ah Chun
FAIZAL Azumu (dua kanan) ketika melancarkan Detik 30 Hari menjelang SUKMA XX. FOTO Owee Ah Chun
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Demi kepentingan nasional, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dibenarkan untuk digunakan sebagai venue perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 September depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun SNBJ ditutup sebelum ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan, namun ia boleh digunakan untuk perlawanan akhir itu.

Katanya, keputusan untuk membuka SNBJ bagi perlawanan akhir itu selepas mendapat permohonan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

"Kami akan berusaha untuk memastikan kerja-kerja yang dijalankan, bukannya di padang tetapi seperti tandas dan sebagainya boleh dipercepatkan agar ia dapat digunakan untuk perlawanan akhir.

"Kita berkorban bagi memastikan perlawanan akhir dapat diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada masa sama, saya ingin tegaskan bahawa stadium sememangnya perlu diperbaiki dan jika ada kekurangan, janganlah dikecam.

"Kami meletakkan kepentingan nasional daripada segala-galanya. Selepas itu (perlawanan akhir), akan kembali berusaha untuk memulihkan stadium dan pastikan ia dapat digunakan untuk tempoh yang lama," katanya selepas menyempurnakan majlis detik 30 hari menjelang Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, hari ini.

MFL semalam mengumumkan SNBJ sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 selepas permohonan mereka untuk menggunakan stadium itu mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ daripada sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang.

Mengikut rekod, SNBJ mula ditutup bermula 15 Jun lalu berikutan menerima kritikan selepas ditakungi air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia dan Bahrain, Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 9:59 PM