PADANG SNBJ digunakan untuk konsert Billie Eilish. FOTO PSM
PADANG SNBJ digunakan untuk konsert Billie Eilish. FOTO PSM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak menunggu lama untuk menyediakan venue Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi perlawanan akhir Piala FA apabila terus melakukan kerja baik pulih sebaik saja konsert Billie Eilish yang berlangsung Khamis lalu tamat.

Hal ini bermakna, SNBJ tidak menghadapi masalah untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala FA 10 September depan walaupun terdapat kesangsian daripada penyokong bola sepak tempatan terhadap 'keupayaan' stadium terbabit menganjurkan pertembungan membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Mengesahkan situasi berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Faidz Sanusi berkata, pihaknya sudah melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaran sebaik konsert membabitkan penyanyi terkenal itu tamat bagi memastikan keadaan venue berada pada tahap optimum.

Beliau berkata, ketika ini, jenis rumput yang digunakan pada perlawanan final Piala FA itu tetap sama iaitu jenis 'Axonopus Compressuss' kerana tahan kepada penggunaan pelbagai acara selain bola sepak.

"Dalam tempoh tiga minggu, PSM akan menjalankan kerja persediaan padang dengan melakukan pemotongan rumput, pembaikan 'levelling' dengan meratakan keseluruhan padang selain kerja pengudaraan dan pembajaan bagi membaik pulih padang," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

KERJA-kerja baik pulih dan pembersihan dilakukan oleh PSM sebaik tamat konsert Billie Eilish. FOTO PSM
KERJA-kerja baik pulih dan pembersihan dilakukan oleh PSM sebaik tamat konsert Billie Eilish. FOTO PSM

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa SNBJ sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 di antara TFC dan JDT pada 10 September ini.

Ini susulan permohonan MFL untuk menggunakan SNBJ mendapat kelulusan daripada PSM selepas badan pengurusan liga itu serta pihak pengurusan TFC dan JDT membuat pemeriksaan teliti mengenai keadaan padang stadium itu bagi final edisi ke-32 Piala FA.

Mengikut rekod, SNBJ mula ditutup bermula 15 Jun lalu bagi memberi laluan kepada kerja penambahbaikan dapat dilaksanakan segera.

Hal ini kerana Stadium Nasional menjadi bahan kritikan selepas ditakungi air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 membabtian Malaysia dan Bahrain Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 12:29 PM