THAILAND muncul juara Piala AFF 2020 selepas menewaskan Indonesia.
THAILAND muncul juara Piala AFF 2020 selepas menewaskan Indonesia.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Piala AFF 2022 bakal membuka tirai tidak lama lagi apabila undian rasmi berlangsung di Bangkok pada 30 Ogos ini.

Mitsubishi Electric Corporation tampil sebagai 'tulang belakang' baharu, sekali gus Piala AFF 2022 menampilkan 10 pasukan dengan format aksi di laman sendiri dan tempat lawan akan kembali diperkenalkan pada edisi kali ini.

Memasuki edisi ke-14 ini, undian akan dibahagikan kepada dua kumpulan membabitkan lima pasukan - setiap pasukan akan beraksi dalam dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi perlawanan di tempat lawan.

Presiden AFF, Jeneral Major Khiev Sameth berkata, pengumuman mengenai undian rasmi Piala AFF 2022 menjadi langkah ke depan yang signifikan terhadap penganjuran temasya dijangka berlangsung pada hujung tahun ini.

"Kami percaya penyokong dan pasukan kebangsaan mereka turut berkongsi rasa keterujaan sama dengan kami.

"Undian ini akan menjadi titik permulaan kepada saingan bola sepak terbesar di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asia Tenggara SPORTFIVE, Malcolm Thorpe berkata, pihaknya tidak sabar untuk menjayakan satu lagi edisi Piala AFF yang lebih gemilang seperti tahun sebelum ini.

"Berbaki hanya empat bulan lagi sebelum Piala AFF 2022 membuka tirainya, kejohanan ini pasti amat dinanti-nantikan penyokong yang mahu menyaksikan pasukan mereka beraksi.

"Kami akan bekerjasama dengan semua ahli gabungan AFF untuk menjayakan edisi kali ini," katanya.

Sebagai rekod, pada edisi lalu yang berlangsung hujung tahun sehingga awal tahun ini, Thailand merangkul kejuaraan keenam apabila menumbangkan Indonesia 6-2 secara agregat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 5:37 PM