BARISAN pemain Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong pada Piala AFF 2018. FOTO Asyraf Hamzah
BARISAN pemain Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong pada Piala AFF 2018. FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kejohanan Piala AFF 2020 tetap diteruskan apabila Konfederasi Bolasepak Asean (AFF) mengumumkan majlis undian rasmi pertandingan membabitkan 11 pasukan itu akan diadakan pada 10 Ogos depan.

Presiden AFF, Khiev Sameth dalam kenyataannya memaklumkan bahawa maklumat lanjut mengenai undian termasuk lokasi dan format perlawanan akan diumumkan kelak.

Beliau berkata, AFF tidak menolak kemungkinan akan menggunapakai kaedah penganjuran secara karnival iaitu hanya berpusat di satu venue bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kami sangat gembira mengumumkan tarikh undian rasmi untuk Piala Suzuki AFF tahun ini.

"Walaupun niat AFF adalah untuk melancarkan kejohanan dalam format dan jadualnya yang lengkap, termasuk perlawanan di tempat sendiri dan di luar untuk semua peringkat perlawanan, kami juga perlu bersiap sedia menghadapi kesan pandemik Covid-19 termasuk kemungkinan format alternatif seperti pertandingan berpusat.

"Kesihatan dan keselamatan pihak berkepentingan kami akan terus menjadi keutamaan apabila kami mempertimbangkan pelbagai pilihan untuk kejohanan ini.

"Pengumuman lebih lanjut mengenai acara itu akan dibuat pada Julai," katanya.

Mengikut pindaan jadual sebelum ini, kejohanan Piala AFF 2020 sepatutnya diadakan sekitar April hingga Mei 2021.

Namun, AFF menangguhkan pertandingan itu kepada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 disebabkan oleh penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia ditambah pula dengan kesukaran tuan rumah untuk menganjurkan perlawanan.

Mengikut rekod, kejohanan dwi tahunan itu kali terakhir berlangsung pada 2018 apabila menyaksikan Vietnam muncul juara selepas membenam Malaysia 1-0 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 6:53 PM