ULTRAS Malaya bersorak kepada barisan pemain Malaysia ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua tahun lalu.  FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ULTRAS Malaya bersorak kepada barisan pemain Malaysia ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua tahun lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


SKUAD Harimau Malaya mampu menarik nafas lega apabila saingan Piala AFF yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini ditunda ke tahun depan.

Keputusan penundaan itu diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) hari ini selepas mengambil kira dan pandangan beberapa negara bertanding yang kini sedang berperang dengan masalah pandemik Covid-19.

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan AFF yang diadakan secara dalam talian itu, Presiden AFF Khiev Sameth, membincangkan secara mendalam mengenai kejohanan yang dianggap umpama saingan Piala Dunia buat Asia Tenggara itu.

Berdasarkan penilaian yang dibuat, jawatankuasa berkenaan menjelaskan bahawa situasi Covid-19 dijangka akan terus berada dalam keadaan serius sehingga hujung tahun dan kejohanan Piala AFF 2020 terpaksa ditunda.

Keputusan penundaan itu pastinya memberi kelegaan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang turut terbabit dengan aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Berdasarkan jadual kelayakan itu, Malaysia dijangka sibuk bermula dengan aksi menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Mereka juga bakal diuji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan di ranking 147 dunia iaitu Kuwait pada bulan November sebelum menentang Thailand di Bangkok pada 17 November ini.

Tugasan skuad negara kemudiannya beralih kepada saingan Piala AFF bermula hujung November hingga Disember namun dengan penundaan pertandingan serantau itu, sekurang-kurangnya membolehkan anak buah Cheng Hoe memberi fokus kepada kempen Kelayakan Piala Dunia.

Skuad negara kini berada di tangga kedua dalam kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia (dua kali) dan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 8:31 PM