GALLIFUOCO (tengah) bukan sahaja mahu menaikkan nama KL tetapi Liga Malaysia secara khususnya. FOTO Bernama
GALLIFUOCO (tengah) bukan sahaja mahu menaikkan nama KL tetapi Liga Malaysia secara khususnya. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan kental Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco memasang misi serampang dua mata dalam final Piala AFC Zon Asean menentang PSM Makassar di Stadium Bolasepak KL, Cheras, Rabu ini.

Jelas pemain yang berasal dari Australia itu, dia bukan hanya mahu mencari kemenangan buat KL City tetapi turut ingin meletakkan bola sepak Malaysia di peta dunia dengan melangkah jauh di saingan itu.

Mengikut format pertandingan, pemenang dalam final Zon Asean itu akan mara ke peringkat separuh akhir Antara Zon yang menyaksikan wakil kelab dari India menanti iaitu Mohun Bagan.

Begitupun, berdasarkan keputusan Fifa minggu lalu yang menggantung Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) atas kesalahan campur tangan pihak ketiga, ia menyaksikan semua aktiviti bola sepak termasuk kelab di negara itu dibatalkan penyertaan mereka.

Lantas ia memberi peluang buat KL City untuk mara ke pentas final Antara Zon, sebelum mengintai slot ke satu lagi aksi akhir Piala AFC dengan menentang kelab dari Asia Barat, sekali gus berpeluang mengulangi pencapaian Johor Darul Ta'zim yang menjulang trofi itu pada 2015 lalu.

Ujar Gallifuoco, 28, kemenangan dramatik ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Super Khamis lalu dijadikan pembakar semangat untuk memenuhi dua sasarannya itu.

"Namun, kami berjaya serap kekuatan yang mereka miliki (NSFC) dan harap kemenangan ini akan menjadi tonik sebelum berdepan PSM Makassar di final Piala AFC Zon ASEAN.

"Kami bukan sahaja mahu menaikkan nama KL tetapi Liga Malaysia secara khususnya bagi menunjukkan yang liga ini semakin berdaya saing," katanya.

KL City dan PSM Makassar layak ke pentas final Piala AFC Zon Asean selepas masing-masing melepasi saingan separuh akhir sebelum ini, dengan skuad The City Boys menumbangkan Viettel FC dari Vietnam manakala PSM Makassar mengenepikan Kedah Darul Aman FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 8:20 PM