BEKAS penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski kini menyertai Barcelona. FOTO FAIL REUTERS
BEKAS penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski kini menyertai Barcelona. FOTO FAIL REUTERS
Reuters

Munich: Penyerang baharu Barcelona, Robert Lewandowski mengucapkan selamat tinggal kepada bekas rakan sepasukan dan staf Bayern Munich ketika lawatan ke ibu pejabat juara Bundesliga itu, hari ini.

Situasi itu satu perkembangan menarik selepas berlaku kekecohan dengan bos Bayern ketika dia meminta untuk meninggalkan kelab itu, sebelum ini.

Penyerang Poland itu yang menjaringkan 344 gol dalam 375 perlawanan sepanjang lapan tahun bersama Bayern menyertai Barca dengan yuran perpindahan 45 juta euros (RM204.89 juta), bulan lalu, selepas mendesak untuk meninggalkan kelab Jerman itu.

Pemain berusia 33 tahun itu dan pihak atasan Bayern saling mengkritik antara satu sama lain ketika menangani isu perpindahan itu apabila Lewandowski mendakwa berlaku banyak 'politik' di pihak kelab itu yang mahu mencetuskan masalah untuk menjualnya.

Sebaliknya, Bayern berkata situasi itu berlaku disebabkan pemain itu yang meminta untuk berpindah walaupun masih memiliki kontrak sehingga 2023.

"Semuanya sudah OK. Saya bertemu semua orang dan berterima kasih kepada mereka," kata Lewandowski kepada Sky television dari dalam keretanya sebelum meninggalkan ibu pejabat Bayern.

"Saya takkan lupa apa yang saya terima dan alami di sini. Ia adalah perkara paling penting dalam hidup saya.

"Apa yang berlaku minggu lalu agak rumit, tetapi kadang kala ia sebahagian daripada bola sepak."

Pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic bercakap dengan Lewandowski dalam lawatan itu dan mereka menjernihkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 9:47 PM