JAMES Rodriguez (kanan) dan Jupp Heynckes. - Foto REUTERS
JAMES Rodriguez (kanan) dan Jupp Heynckes. - Foto REUTERS
AFP

SEVILLE: Pengendali Bayern Munich, Jupp Heynckes memberi isyarat yang kelabnya akan mengekalkan James Rodriguez untuk setahun lagi dan kemudian baru akan cuba menandatangani pemain itu secara tetap dari Real Madrid.

Tetapi Heynckes menolak kemungkinan yang penyerang Bayern Robert Lewandowski akan berpindah keluar dan menyertai Real pada jendela perpindahan musim panas ini.

James bersetuju untuk dipinjamkan dua tahun ketika menyertai Bayern dari Los Blancos tahun lalu dan pemain Colombia itu menampilkan aksi cemerlang musim ini.

Beberapa kelab ternama dilaporkan berminat mendapat pemain 26 tahun itu tetapi Heynckes, yang akan bersara akhir musim ini, percaya dia akan kekal di Bayern.

“Dia gembira di Munich dan di Bayern,” kata Heynckes menjelang pertemuan suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Seville di sini.

“Secara logiknya saya rasa dia akan kekal tahun depan dan berikutnya. Bayern perlu mengambil keputusan berkenaan masa untuk membelinya.”

Real menandatangani James dari Monaco dengan nilai 90 juta euro (RM427.8 juta) selepas dia muncul sebagai salah seorang pemain yang menyerlah di Piala Dunia 2014.

Tetapi dia bergelut untuk memenuhi jangkaan ke atasnya di Madrid dan hanya mendapat kembali sentuhannya di bawah kendalian Heynckes, yang kembali mengendali Bayern Oktober lalu.

Sementara itu menurut laporan di Sepanyol, Lewandowski berada dalam senarai teratas pemain dikehendaki Real selepas meledak 40 gol dalam 42 perlawanan musim ini.

“Saya tidak akan memberi peluang kepada Real Madrid untuk menandatangani Robert Lewandowski,” kata Ketua Eksekutif Bayern Karl-Heinz Rummenigge.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 9:05 AM