VINCENT Kompany memberi arahan kepada pemain Burnley. FOTO Agensi
VINCENT Kompany memberi arahan kepada pemain Burnley. FOTO Agensi
Reuters

London: Jaringan awal Ian Maatsen membolehkan Burnley menang 1-0 ke atas Huddersfield, semalam, yang juga perlawanan pertama Vincent Kompany sebagai pengurus kelab Liga Kejuaraan itu.

Maatsen menjaringkan gol pada minit ke-18 untuk memberikan kemenangan pertama selepas tempoh enam tahun Burnley dalam liga utama berakhir, hujung musim lalu.

Berlaku perubahan ketara dalam barisan pemain Burnley pada hujung musim lalu apabila ramai pemain meninggalkan pasukan untuk kekal bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kompany yang juga bekas kapten Manchester City menyertai pasukan itu pada Jun, selepas meninggalkan kelab Belgium, Anderlecht.

Perlawanan itu membuka tirai musim baharu Liga Kejuaraan lebih awal bagi memberi laluan kepada Piala Dunia Qatar 2022, November ini.

Burnley sepatutnya menang lebih besar namun pemain remaja Dara Costelloe, yang juga membuat penampilan sulungnya, terlepas tiga peluang keemasan sebelum rehat.

Kompany memenangi empat gelaran EPL sepanjang 11 tahun menjadi pertahanan Man City.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 9:25 AM