KOMPANY meraikan kejayaan Burnley mara ke EPL musim depan bersama anak buahnya. FOTO Reuters
KOMPANY meraikan kejayaan Burnley mara ke EPL musim depan bersama anak buahnya. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Burnley, Vincent Kompany mengakui bahawa beliau sendiri tidak sangka terlalu pantas berjaya membawa pasukannya melayakkan diri beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan selepas menang 2-1 ke atas Middlesbrough.

Tidak tumpas sebanyak 19 kali berturut-turut dalam saingan liga membolehkan The Clarets berada di tangga teratas Liga Kejuaraan dibezakan 19 mata dengan pasukan tangga ketiga Luton, yang masih mempunyai baki enam perlawanan.

Burnley pula masih mempunyai tujuh perlawanan untuk dimainkan, menjadikan kelayakan mereka ke EPL adalah paling pantas sejak era Liga Kejuaraan.

"Masih ada baki tujuh perlawanan dan kami sudah meraikan kejayaan. Kami sendiri tidak menyangka," kata Kompany.

"Kami mahu merasai pengalaman ini namun lebih cepat lagi bagus."

Keputusan untuk bertindak pantas mendapatkan bekas kapten Manchester City itu selepas tempoh pengurusan pertamanya di Anderlecht berakhir membuktikan kejayaan besar.

Ramai yang gusar apabila Burnley tersingkir musim lalu selepas enam tahun berada dalam saingan EPL.

Pemain pertahanan, Connor Roberts menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 24 minit di Riverside.

Sebelum itu Ashley Barnes meletakkan Burnley di depan tetapi Chuba Akpom menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti untuk gol ke-27nya musim ini.

Kemenangan Burnley juga membantu Sheffield United menghampiri kepulangan ke EPL apabila Middlesbrough kekal di tangga keempat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 7:52 AM