FAISAL meraikan jaringan penalti untuk gol kedua TFC. FOTO Ghazali Kori
FAISAL meraikan jaringan penalti untuk gol kedua TFC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mengesahkan statusnya sebagai gergasi Pantai Timur selepas berjaya menjinakkan Sri Pahang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam ini.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang melakukan perubahan taktikal berbanding pertemuan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) Rabu lalu hanya memerlukan masa 52 saat untuk mendahului skuad Tok Gajah 1-0.

Gol itu terhasil menerusi tolakan mengelirukan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman selepas mendapat umpanan pemain tengah, Petrus Shetembi sebelum menewaskan penjaga gol tinggi lampai kelahiran Mali, Mamadou Samassa.

Skuad kendalian Christophe Gamel yang menurunkan empat tonggak import hampir menyamakan kedudukan pada minit keempat, namun sepakan percuma Kevin Ingreso sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol tuan rumah.

Skuad Penyu yang menerapkan formasi 4-5-1 hampir mendapat jaringan kedua pada minit ke-21 namun rembatan padu Manuel Ott berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.

Bersambung babak kedua, giliran Shetembi mendapat peluang terbaik untuk mencetak nama sebagai penjaring, tetapi sekali lagi penjaga bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain kelahiran Namibia itu.

Pada minit ke-66, Sherman perlu menyalahkan diri sendiri apabila peluang terbaik ketika hanya berdepan penjaga gol gagal diterjemahkan dengan jaringan sekali gus melegakan kem pelawat.

Percubaan berterusan tuan rumah untuk mendapat gol kedua akhirnya berhasil apabila pengadil, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-75 selepas Faisal Halim dikasari pertahanan pelawat, Mohd Shahrul Aizad Zukufli.

Bagaimanapun sepakan pertama diambil Faisal ditampan penjaga gol, tetapi pengadil memberikan sepakan penalti semula selepas kesilapan penjaga gol yang terlebih dahulu keluar dan pemain kebangsaan itu menambah gol kedua pada minit ke-80.

Ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, Abdul Malik Mat Ariff meledak gol tunggal pasukannya selepas bijak memperdaya penjaga gol tuan rumah, Suhaimi Husin untuk merapatkan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 11:16 PM