AHMAD Syihan hanya melepaskan tujuh gol dalam saingan Liga Super. FOTO FAM
AHMAD Syihan hanya melepaskan tujuh gol dalam saingan Liga Super. FOTO FAM
Syazwan Msar


kuala Lumpur: Penjaga gol Harimau Malaya Ahmad Syihan Hazmi Mohamed ternyata tidak goyah untuk menggalas cabaran menjaga gawang skuad kebangsaan walaupun dia jarang diuji dalam saingan Liga Super.

Syihan yang juga penjaga gol utama skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) hanya melepaskan tujuh gol dalam saingan Liga Super.

Malah, hanya pada pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini dia terpaksa bekerja keras ketika keputusan seri 3-3 manakala perlawanan lain pula lebih kepada 'santai' kerana jarang diuji pasukan lawan.

Syihan berkata, dia akan memberikan persembahan terbaik apabila diberikan kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon untuk menggalas cabaran menjaga gawang pasukan kebangsaan.

"Sebagai pemain, jurulatih sudah bagi kepercayaan dan kita perlu buat terbaik termasuklah fokus 100 peratus," katanya.

Pemain berusia 28 tahun itu turut berkata, perlawanan menentang pasukan yang berada di ranking 100 terbaik adalah pengalaman berharga yang dinantikan barisan skuad Harimau Malaya.

"Alhamudillah, kita dapat lawan pasukan dalam ranking lebih tinggi sekali gus pengalaman yang bagus menentang Syria dan China.

"Kita boleh ambil perlawanan terbabit untuk perbaiki kelemahan. Semua pemain sudah bersedia dan akan berikan terbaik untuk pasukan," katanya.

Mengikut rekod, skuad Harimau Malaya bakal memulakan perlawanan persahabatan menentang Syria pada 6 September manakala China pada 9 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 2:21 PM