DEPAY gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung perlawanan. FOTO Reuters
DEPAY gagal menyempurnakan sepakan penalti di hujung perlawanan. FOTO Reuters
AFP

Rotterdam: Memphis Depay terlepas sepakan penalti saat akhir ketika Belanda seri 2-2 dengan Poland di kempen Liga Negara-Negara hari ini pada perlawanan yang menyaksikan satu ketika tuan rumah ketinggalan 0-2.

Pemain pertahanan Poland, Matty Cash dihukum kerana bola terkena tangannya pada minit ke-90.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang diambil Depay tersasar.

Belanda tampil pada perlawanan di Rotterdam dengan rekod 100 peratus selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Belgium dan mengatasi Wales 2-1.

Poland menewaskan Wales 2-1 tetapi mengalami kekalahan besar 1-6 kepada Belgium.

Selepas menerima tekanan awal, Poland membuka jaringan minit ke-18 menerusi Cash yang menerima hantaran dari Nicola Zalewski.

Lima minit memasuki babak kedua, Poland mendahului 2-0 menerusi gol Piotr Zielinski selepas jaringannya dirujuk video bantuan pengadil (VAR).

Bagaimanapun Belanda bangkit dengan dua gol dalam masa tiga minit dengan Davy Klaassen menjaringkan gol dari jarak dekat dan Denzel Dumfries menyamakan kedudukan selepas menerima hantaran Depay.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 8:54 AM