PEMAIN Terengganu FC II, Rahmat Makasuf (kiri) diasak pemain Selangor FC 2, Richmond Ankrah pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN Terengganu FC II, Rahmat Makasuf (kiri) diasak pemain Selangor FC 2, Richmond Ankrah pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas sekadar terikat tanpa jaringan pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang turun dengan misi meneruskan rentak kemenangan bermula garang apabila mendapat peluang terbaik untuk mendahului menerusi rembatan pemain tengah, Muslihuddin Atiq Mat Zaid pada minit ketujuh yang hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol pelawat.

Lima minit berselang, skuad pelawat kendalian Rusdi Suparman juga mendapat peluang keemasan untuk mendahului menerusi Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan selepas mendapat umpanan Fakrul Fareez Aidi, namun penjaga gol, Mohamad Shafawi Mohamad lebih pantas menghalang percubaan itu.

Pada minit ke-20, penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mencetak nama sebagai penjaring walaupun hanya berdepan dengan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman yang lebih pantas menyambar bola.

Pelawat sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk mendahului pada minit ke-33 menerusi George Attram, tapi percubaan pemain kelahiran Ghana itu sedikit melepasi palang sekali gus terselamat pintu gol The Turtles.

Bersambung babak kedua, pemburuan kedua-dua pasukan untuk mendapatkan jaringan terus buntu berikutan ketumpulan jentera serangan.

Hanya satu percubaan tepat dimiliki pelawat menerusi Muhammad Faiz Amer Runnizar pada minit ke-68 yang hanya melintasi pintu gol tuan rumah.

Begitu juga skuad tuan rumah memperoleh peluang terhidang menerusi tandukan Muhamad Alif Zakaria hasil sepakan sudut Muhammad Syaiful Haqim Shahrul pada minit ke-72. Kedudukan 0-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 12:07 AM