SITUASI berkenaan akan dimanfaatkan Sikh Izhan sebaiknya bagi meningkatkan kemahiran individunya. FOTO OWEE AH CHUN
SITUASI berkenaan akan dimanfaatkan Sikh Izhan sebaiknya bagi meningkatkan kemahiran individunya. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan dua lagi rakan sepelatih di posisi penjaga gol menyaksikan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman terpaksa berlatih secara bersendirian yang sebenarnya agak janggal dan jarang berlaku dalam mana-mana latihan pusat bertaraf kebangsaan.

Namun itulah hakikat yang berlaku kepada skuad bawah 23 (B-23) tahun negara apabila hanya Sikh Izhan sahaja melaporkan diri bagi posisi penjaga gol dengan kelibat dua lagi pesaing iaitu Muhammad Rahadiazli Rahalim dan Azri Ab Ghani belum menyertai pasukan.

Begitupun, ia tidak mematahkan semangat penjaga gol Selangor FC itu yang melihatnya dari sudut positif.

Katanya, situasi berkenaan akan dimanfaatkan sebaiknya bagi meningkatkan kemahiran individunya dan mencungkil seberapa banyak ilmu dengan jurulatih penjaga gol negara, Kris Yong Wai Hwang.

"Bagi saya untuk beberapa hari ini untuk saya seorang mungkin baik untuk saya fokus, dan jurulatih penjaga gol pun boleh fokus kepada saya dalam latihan.

"Jadi saya akan cuba meningkat sedikit demi sedikit…saya (berlatih) satu sama satu, dengan jurulatih penjaga gol, jadi lebih mudah kerja dia untuk fokus kepada saya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari pertama di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di Kelana Jaya, semalam.

Ditanya peluangnya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, dia mengakui Rahadiazli dan Azri adalah pencabar yang sukar.

Namun, pemain kelahiran Seberang Jaya, Pulau Pinang itu menganggap ia adalah persaingan sihat.

"Bagi saya ketiga-tiga penjaga gol ada kualiti terbaik dan ia persaingan yang sihat. Saya rasa ia menjadi tamparan pada jurulatih untuk memberi (memilih) tanggungjawab sebagai penjaga gol nombor satu.

"Jadi saya harap dalam latihan ataupun perlawanan persahabatan akan datang ini, akan berikan terbaik setiap perlawanan, ataupun jika diberi peluang akan buat yang terbaik," katanya.

Skuad negara dalam rangka persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Sea di Vietnam bulan depan dan dijadual mengharungi dua aksi persahabatan bertemu pasukan B-23 Timor Leste B-23 pada 29 April dan skuad B-23 Filipina B-23 pada 1 Mei ini.

Di Vietnam nanti, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B bersama Thailand, Kemboja, Singapura dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 10:48 PM