GAYA Salah selepas meledak gol kedua Liverpool.
GAYA Salah selepas meledak gol kedua Liverpool.
Reuters

Liverpool, England: Wira Liverpool yang meledak dua gol, Mohamed Salah berkata, Manchester United menjadikan tugas mereka lebih mudah ketika menang 4-0 di Anfield, awal pagi tadi yang meletakkan skuad Juergen Klopp ke puncak Liga Perdana.

Skuad tuan rumah mendahului 2-0 dalam tempoh 22 minit dan United terus gagal bangkit dalam perlawanan yang menyaksikan Luis Diaz dan Sadio Mane turut membolosi gawang lawan.

"Mereka menjadikan tugas kami lebih mudah di bahagian tengah dan belakang, mereka gagal kuasai bola dalam situasi satu lawan satu, jadi ia memudahkan tugas kami," kata bintang Mesir itu.

Liverpool menang 5-0 di Old Trafford pada Oktober dan Salah menyedari rekod ampuh pertahanan pasukannya selain ketajaman penyudah.

"Kami memiliki rekod bersih ketika bertahan di sini dan di sana, jadi kehidupan kami lebih mudah dengan fakta itu," kata Salah.

"Kami hanya mahu menjaringkan satu gol dan apabila mendapatkannya, kami mahu yang kedua dan yang ketiga. Ia prestasi mantap kami di sini dan juga di tempat lawan. Harap berterusan," tambah Salah.

Pemain tengah Portugal, Bruno Fernandes mengakui mereka beraksi di bawah prestasi sebenar yang mengecewakan penyokong.

"Penyokong sepatutnya mendapatkan sesuatu lebih baik daripada kami. Mereka terus memberi sokongan kepada kami dan mereka berhak mendapatkan lebih daripada kami. Kami perlu tingkat permainan ke tahap lebih tinggi," kata Fernandes yang menolak dakwaan rakan sepasukan tidak bersungguh-sungguh beraksi.

United merosot ke tangga keenam liga, tiga mata di belakang di Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat dan beraksi lebih satu perlawanan.

"Kami akan bersaing sehingga perlawanan terakhir. Kami perlu berjuang untuk itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 7:30 AM