MOHD Asri Ninggal. -FOTO Asrol Awang
MOHD Asri Ninggal. -FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali sementara Melaka United, Mohd Asri Ninggal memuji semangat juang yang dipersembahkan anak buahnya selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Katanya, kemenangan itu juga memberi suntikan semangat bukan sahaja barisan kejurulatihan dan pemain, malah turut kembali memperbaiki kedudukan dalam saingan liga.

"Sebenarnya, kemenangan ini bukan kelegaan buat saya, malah ia lebih kepada negeri Melaka selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan.

"Pada perlawanan ini (malam tadi), pemain menunjukkan mereka adalah pemain yang baik dan boleh membuat sesuatu buat pasukan.

"Sama ada mereka hendak atau tidak tetapi mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan seterusnya mencatat kemenangan.

"Saya berterima kasih kepada pemain kerana mereka mencatat kemenangan pertama musim ini," katanya.

Pada perlawanan itu, dua gol Melaka United, masing-masing satu dijaringkan oleh Emmanuel Essigba dan Mohamad Hasbullah Abu Bakar pada minit ke-51 dan 70.

Gol tunggal Sri Pahang pula dijaringkan oleh pemain import, Mahmoud Za'tara pada minit keempat.

Ditanya masalah dalaman yang dihadapi Melaka United, Mohd Asri berkata, fokus utamanya ialah untuk meningkatkan moral anak buahnya.

"Saya bercakap dengan pemain apabila mereka bermain dengan baik dan mencatat keputusan baik, pihak pengurusan akan membuka mata.

"Saya rasa pengurus pasukan akan dapat menyelesaikannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 12:53 PM