AKSI Maradona (dua kiri) ketika bertemu England. FOTO AFP
AKSI Maradona (dua kiri) ketika bertemu England. FOTO AFP
Reuters

Buenos Aires: Baju yang dipakai Diego Maradona ketika dia menjaringkan dua gol paling terkenal dalam sejarah bola sepak dilelong oleh Sotheby's dan ia dijangka dijual pada harga sekurang-kurangnya 4 juta pound (RM22 juta).

Maradona memakai jersi bernombor 10 pada aksi suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England di Mexico.

Enam minit selepas separuh masa kedua, dia meletakkan Argentina di hadapan dengan menumbuk bola masuk ke gawang gol, jaringan yang terkenal sebagai 'Tangan Tuhan'.

Empat minit kemudian, dia menggelecek dari separuh padang sebelum meledak gol kedua yang dilabel sebagai gol terbaik sepanjang zaman dalam sejarah Piala Dunia.

Bekas pemain tengah England, Steve Hodge mendapat jersi Maradona selepas tamat perlawanan itu dan mengumumkan dia akan melelongnya selepas 19 tahun dipamerkan di Muzium Bola Sepak Kebangsaan England.

Bagaimanapun, penjualan itu diselubungi dengan dakwaan daripada keluarga Maradona bahawa jersi yang dilelong itu bukan yang sebenar.

Anak perempuan dan bekas isterinya meragui keaslian jersi itu apabila menyatakan Hodge mendapat jersi yang dipakai Maradona pada separuh masa pertama.

"Ia bukan baju yang dipakai ayah saya pada separuh masa kedua," kata Dalma Maradona di radio Metro.

"Saya pasti bahawa dia tidak memilikinya, dan saya tahu siapa yang mempunyainya. Saya tidak mahu memberitahu siapa yang memilikinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 9:56 PM