SEAN Eugene sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. FOTO Ihsan Negeri Sembilan FC
SEAN Eugene sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. FOTO Ihsan Negeri Sembilan FC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Biarpun kedudukannya dalam barisan kesebelasan utama Negeri Sembilan FC (NSFC) belum pasti, namun pemain penyerang Sean Eugene Selvaraj, sudah sedia untuk diturunkan pada perlawanan pembuka tirai Liga Super menentang Sabah FC, di Stadium Likas, Jumaat ini.

Malah, pemain berusia 25 tahun itu ternyata tidak sabar untuk memulakan perjuangan bagi menjulang nama pasukan baharunya itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

"Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk memikul tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan pasukan.

Namun saya sedar jurulatih akan memilih pemain terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Sabah, Jumaat nanti.

"Andai diberi peluang diturunkan pada perlawanan pertama itu nanti, sudah pasti saya berusaha memberikan persembahan terbaik kerana mahu memulakan perjuangan ini dengan keputusan yang baik dan menjaringkan gol buat pasukan.

"Saya juga percaya dan yakin, semua rakan-rakan sudah bersedia untuk memulakan cabaran dan kami sedang fokus untuk mendapatkan keputusan terbaik pada pertembungan dengan Sabah itu nanti," katanya di sini, hari ini.

Bekas penyerang Selangor FC itu berkata, dia mengharapkan Negeri Sembilan dapat memulakannya dengan langkah kanan dengan keputusan positif walaupun beraksi di gelanggang lawan.

Malah yakin dengan komitmen tinggi semua pemain skuad Hobin Jang Hobin yang sudah menunjukkan persefahaman baik hasil persiapan pramusim termasuk dalam beberapa aksi persahabatan, akan memberikan impak positif dalam persembahan itu nanti.

Menurut pemain kelahiran Port Dickson itu, kejayaan memenangi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2022, baru-baru ini juga bakal membantu Negeri Sembilan untuk memperagakan aksi lebih cemerlang dan seterusnya beroleh keputusan yang baik.

"Situasi dalam pasukan ketika ini amat baik dan kami akan bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan perlawanan pertama Liga Super ini nanti mampu mencetuskan keyakinan yang tinggi untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya.

Menurut Sean, pasukannya perlu menang pada aksi pertama liga ini sebagai suntikan semangat sebelum mereka berhadapan satu lagi pencabar, Terengganu FC (TFC) pada perlawanan kedua di Kuala Terengganu, lima hari kemudian.

"Situasi itu sememangnya suatu cabaran yang besar buat kami, namun menerusi persiapan rapi yang sudah dibuat dan semangat tinggi serta keyakinan rakan-rakan, kemenangan boleh dicapai," katanya, yang kembali bersama pasukan negeri kelahirannya selepas berhijrah bersama Selangor sejak 2018.

Bekas pemain Harimau Muda ini bukan asing beraksi bersama Negeri Sembilan kerana pernah bersama pasukan itu antara 2016-2017 dan menjaringkan dua gol menerusi sembilan penampilan manakala ketika bersama Selangor, dia menjaringkan lima gol sepanjang 39 penampilannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 5:32 PM