ANTONIO Conte memberi arahan kepada Matt Doherty. FOTO Reuters
ANTONIO Conte memberi arahan kepada Matt Doherty. FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte memuji kebangkitan pasukannya kebelakangan itu dan kerja keras mula membuatkan hasil apabila melonjak ke tangga ke empat Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Newcastle United, 5-1, semalam.

Spurs mengamuk selepas rehat menerusi gol Ben Davies, Matt Doherty, Son Heung-min, Emerson Royal dan Steven Bergwijn selepas Newcastle mendahului pada babak pertama menerusi Fabian Schar.

Kemenangan itu menyaksikan Tottenham mengumpul 54 mata, sama seperti Arsenal, tetapi seteru London itu memiliki kelebihan dua perlawanan dan berpeluang kembali ke tangga keempat apabila berkunjung ke Crystal Palace, hari ini.

"Saya suka bersikap jujur dan jelas pada setiap masa dengan pemain. Saya hadir pada November dan sukar meletakkan sasaran pada musim ini.

"Saya berdepan kesukaran dalam banyak aspek," kata Conte.

"Kerja keras yang kami lakukan mula membuahkan hasil. Saya melihat komitmen tinggi dipamerkan pemain pada setiap hari dan keputusan baik ini penting untuk membalas hasil kerja yang kami lakukan."

Conte menggantikan Nuno Espirito Santo pada November, ketika Tottenham menduduki tempat kesembilan dalam liga dan lima mata di belakang tempat untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Kini, saya sudah bekerja lima atau enam bulan untuk membawa idea saya dalam bola sepak dan mentaliti. Terima kasih kepada semua pemain.

"Sejak hari pertama, mereka mempamerkan komitmen dan keinginan untuk meningkat," katanya selepas Spurs mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam liga.

"Liga ini memang sengit untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara Eropah. Kami mahu berada di situ sehingga tamat dan cuba bermain dengan kesungguhan dan ketepatan.

"Saya gembira sebelum rehat aksi antarabangsa. Agak malang kami terpaksa berhenti seketika. Saya minta pemain menyambung semula aksi terbaik sebelum rehat itu."

Sabtu ini, Tottenham akan menentang Aston Villa yang menduduki tangga ke-10 liga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 8:32 AM