Newcastle, United Kingdom: Tottenham Hotspur akan kembali mencabar misi kembali ke enam kelompok teratas biarpun peminat melakukan demonstrasi di Newcastle United, malam ini.

Segelintir penyokong tuan rumah merancang untuk memboikot perlawanan itu kerana tidak berpuas hati dengan cara kelab itu dikendalikan tetapi itu hanya akan menjadi selingan buat skuad Mauricio Pochettino yang bertekad untuk bangkis selepas tewas 0-1 kepada Aston Villa di laman sendiri.

Kekalahan itu meletakkan Spurs di tangga ketujuh dan ketinggalan tujuh mata daripada kelompok empat teratas, bermakna harapan kelab London itu untuk mendapatkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan boleh dianggap berakhir.

Pochettino dan anak buahnya tidak akan berputus asa untuk mencapai impian mereka melainkan jika tewas daripada sudut perkiraan mata tetapi sasaran paling realistik adalah memastikan tiket ke Liga Europa.

Selepas hanya menang sekali daripada empat perlawanan terakhir, mereka mesti segera bangkit jika tidak mahu kempen musim ini menghampakan mereka.

Bek tengah Tottenham, Federico Fazio berkata: “Kami perlu memikirkan mengenai enam perlawanan terakhir dan cuba mendapatkan 18 mata. Ia sukar tetapi kami boleh melakukannya dan kami mempunyai pasukan untuk memastikannya menjadi kenyataan.

“Kami perlu positif dan yakin, itu paling penting. Kami boleh menang semua enam perlawanan, ia tidak mustahil.”

Spurs sekali lagi mengharapkan penyerang Harry Kane yang tampil sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 19 gol dan Pochettino yakin impak penyerang England itu akan membawanya ke anugerah pemain terbaik tahunan, mengatasi Eden Hazard, yang menjadi nadi kebangkitan Chelsea di puncak Liga.

“Hazard pemain yang baik. Dia hebat tetapi saya rasa tidak ramai menyangka Harry Kane mampu mempamerkan prestasi hebat musim ini. Saya percaya itulah perbezaannya.”-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:14 AM