SEJAK 2015 sudah hampir RM20 juta sumbangan disalurkan DBKL buat pasukan Kuala Lumpur. FOTO SYAFEEQ AHMAD
SEJAK 2015 sudah hampir RM20 juta sumbangan disalurkan DBKL buat pasukan Kuala Lumpur. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengakui sumbangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap kemajuan bola sepak Kuala Lumpur cukup besar dan tidak ternilai.

Jelas Syed Yazid, kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada musim lalu sebenarnya turut dibantu DBKL yang banyak menyalurkan sumbangan dana serta penyediaan fasiliti buat pasukan yang kini dikenali dengan Kuala Lumpur City FC (KL City).

"Kita tidak boleh ketepikan sumbangan DBKL dalam pembangunan bola sepak di Kuala Lumpur ini. Sejak 2015 bahkan sebelum itu lagi, sudah banyak bantuan yang dihulurkan bagi melihat aktiviti bola sepak terus rancak.

"Kemuncaknya adalah pada musim lalu, kita berjaya menjuarai Piala Malaysia selepas kali terakhir menang pada 1989 yang secara tidak langsung menaikkan imej kelab dan nama Kuala Lumpur.

"Kita harap kerjasama kedua-dua pihak dapat diteruskan demi legasi dan survival pasukan. Paling mustahak, kita mahu terus melahirkan bakat-bakat dari Kuala Lumpur untuk negara yang sebenarnya mempunyai ramai pemain berbakat," katanya.

Difahamkan, sejak 2015 sudah hampir RM20 juta sumbangan disalurkan DBKL buat pasukan Kuala Lumpur sama ada di peringkat pembangunan hinggalah skuad utama di Liga Super.

Selain itu, DBKL juga memberi KLFA menggunakan Stadium Bandar Tun Razak yang kini dikenali dengan nama Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Malah, DBKL turut membantu menyediakan tempat latihan yang dijalankan di padang Pudu Ulu.

Ujarnya lagi, keprihatinan dan sokongan kuat beberapa Menteri Wilayah terdahulu termasuk kini Datuk Seri Shahidan Kassim nyata membakar semangat pasukan untuk mengharumkan nama KL City hingga peringkat antarabangsa di mana musim ini kelab itu akan bersaing di Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 4:07 PM