KL City antara pasukan berjaya di Liga Super. FOTO GHAZALI KORI
KL City antara pasukan berjaya di Liga Super. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pembangunan bola sepak di Kuala Lumpur (KL) termasuk kejayaan pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dipersada bola sepak tempatan banyak dibantu oleh Datuk Bandar, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang juga peminat nombor satu skuad Warga Kota.

Keprihatinan dan kesungguhan Kamarulzaman dalam menyumbang pembangunan bola sepak di KL cukup besar dan ia mendapat pujian serta penghargaan daripada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Naib Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkata, tidak ramai yang mengetahui bahawa sebenarnya kejayaan KL City dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) banyak dibantu oleh Datuk Bandar menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Bagi saya Datuk Bandar (Kamarulzaman) umpama wira yang jarang didendangkan. Penglibatan Datuk Bandar kepada pembangunan bola sepak di KL ini cukup besar sekali.

"Sumbangan dana yang diberikan kepada KLFA banyak membantu persatuan untuk menggerakkan aktiviti dan program pembangunan di sekitar KL.

"Malah, KLFA yang turut memegang sebahagian saham dalam KL City juga kita berikan dana daripada DBKL untuk memastikan KL City bersaing dalam Liga M.

"Kita perlu berterima kasih kepada Datuk Bandar yang sentiasa mengambil berat dan cakna tentang bola sepak di KL ini," katanya yang juga Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Untuk rekod, Kamarulzaman, 59, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti Teknologi Malaysia, mula berkhidmat dengan DBKL pada 1991 dan berpengalaman selama 32 tahun dalam pengurusan bandar raya serta dasar perancangan Kuala Lumpur.

Difahamkan, untuk musim ini DBKL sudah menyalurkan sebanyak RM7 juta buat menyokong pembangunan bola sepak di KL.

Baru-baru ini, KL City mengumumkan penajaan daripada DBKL dengan kelab itu akan menjadi duta kempen 'Bandar Raya Rendah Karbon' yang akan diletakkan di bahagian hadapan jersi pasukan dalam saingan Liga M.

Pencapaian KL City sejak beberapa tahun lalu cukup membanggakan apabila berjaya muncul juara Piala Malaysia pada musim 2021, sebelum membuat kejutan mara ke pentas final Piala AFC sebelum tumbang kepada kelab Oman, Al Seeb musim lalu.

Rentak sama terus diperagakan pada tahun ini apabila melangkah sekali lagi ke final Piala FA yang juga final ketiga dalam tempoh tiga musim berturut-turut, sebelum dikecewakan oleh JDT di perlawanan akhir yang menang 2-0 pada Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 1:20 PM