PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PENGENDALI Sri Pahang FC, Christophe Gamel. -FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel menjangkakan Manjung City FC akan memberi tentangan sengit apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Rabu ini.

Justeru, jurulatih kelahiran Perancis itu mahu pemainnya kekal fokus sepanjang tempoh perlawanan dalam usaha mencatatkan kemenangan.

"Sebenarnya, kami tidak boleh memandang mudah dan menghormati lawan termasuk pertemuan dengan Manjung City.

"Ini kerana Manjung City datang ke Kuantan semestinya mahu mencatat kemenangan kerana bagi saya mereka sebuah pasukan yang bagus dengan persediaan yang dilakukan.

"Oleh itu, kami perlu bermain dengan baik untuk menewaskan mereka kerana mara ke pusingan seterusnya," katanya.

Untuk rekod empat perlawanan dalam saingan Liga M3 setakat ini, kelab amatur dari Perak itu mengekalkan rekod tanpa kalah.

Prestasi terbaik itu memastikan Manjung City menduduki tangga teratas Kumpulan A Liga M3 dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Katanya, biarpun barisan sebahagian pemainnya berdepan jangkitan Covid-19 baru-baru ini, beliau mahu Sri Pahang dapat beraksi cemerlang di halaman sendiri.

"Saya harap semua pemain dapat memberikan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan untuk menafikan peluang Manjung City," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2022 @ 2:52 PM