DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Owee Ah Chun
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Owee Ah Chun
Ahmad Hasbi


Nilai: Cukup untuk bagi komen. Itu ingatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak.

Ini susulan luahan rasa tidak puas hati jurulatih kelahiran Croatia itu selepas dua pemain KL City dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada saingan Piala Raja Thai, baru-baru ini, namun tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Hamidin berkata, Bojan selaku bekas jurulatih pasukan kebangsaan bawah 20 tahun seharusnya lebih memahami peraturan kerana pemain yang terpilih perlu menjalani latihan di bawah bimbingan Kim Pan-gon, meskipun tidak diturunkan.

"Bojan Hodak pernah jadi jurulatih bawah 20, dia patut tahu apa peraturan dan sudah tentu 25 pemain yang dipanggil pasukan nasional, bukan semua dimainkan.

"Tetapi kita sudah buat latihan dan mungkin ada satu dua pemain yang belum sempat beraksi dan ini adalah normal," katanya ketika hadir ke upacara Pecah Tanah Seriemas Sporsplex, di Kota Seriemas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFA), Abdul Malek Hassan.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, dia memberi ingatan kepada Hodak supaya berhenti mempersoalkan mengenai tindakan ketua jurulatih pasukan Harimau Malaya itu.

"Sebagai jurulatih dia patut tahu. Ingatan saya kepada Bojan Hodak supaya cukup untuk bagi komen setakat ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Hodak tidak berpuas hati dengan tindakan jurulatih kebanggsaan, Kim Pan-gon terhadap dua pemain KL City iaitu Zhafri Yahya dan Declan Lambert.

Difahamkan, Zhafri Yahya tidak mendapat sebarang minit permainan dan Declan Lambert hanya bermain 10 minit sahaja dalam satu perlawanan bagi saingan Piala Raja Thai, tempoh hari.

Bekas jurulatih JDT itu dilaporkan berkata dua pemain KL City ini boleh bersama pasukannya dalam perlawanan Liga Super menetang Pulau Pinang.

KL City tewas 0-1 kepada Pulau Pinang di Stadium Bandaraya pada 24 September lalu dan Bojan menyifatkan perlawanan itu adalah aksi terburuk pasukannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 6:44 PM