Pengendali Terengganu TFC II Badrul mohon doa selepas positif Covid-19. -FOTO TFC
Pengendali Terengganu TFC II Badrul mohon doa selepas positif Covid-19. -FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Doakan kami cepat sembuh dan boleh kembali semula ke padang," demikian permintaan ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali selepas beliau positif wabak pandemik Covid-19.

Selain jurulatih skuad The Turtles itu, turut dijangkiti wabak pandemik empat pemain skuadnya yang kesemuanya adalah pemain tempatan.

Jurulatih meningkat naik berusia 46 tahun itu berkata, beliau dan pemainnya tidak menduga dijangkiti wabak itu lebih-lebih lagi prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dititikberatkan menjelang aksi pertama Liga Perdana bertemu UiTM FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

"Kami bersama empat pemain disahkan positif Covid-19 bermula 3 Mac lalu dan kini sedang kuarantin sehingga 9 Mac ini, namun saya bersyukur hanya mengalami gejala demam yang tidak kuat," katanya ketika dihubungi.

Semalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menunda pertemuan TFC II menentang UiTM FC yang dijadualkan berlangsung pada malam ini selepas 12 pemain skuad The Lions Troops itu didapati positif Covid-19 manakala baki barisan pemain pula berstatus kontak rapat bergejala.

MFL turut menunda pertemuan skuad 'abang' Terengganu FC (TFC) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan juga pada malam ini selepas 11 pemain dan 11 pegawai pasukan Sri Pahang FC positif wabak pandemik itu.

Mengulas kesan kepada pemainnya, Badrul Afzan akui anak buahnya sudah bersedia 100 peratus untuk berdepan lawan walaupun empat daripadanya didapati positif.

"Memang kami kecewa dengan penundaan perlawanan pada saat akhir malam ini, lebih-lebih lagi pemain sudah bersedia untuk turun padang dalam aksi pertama itu walaupun tanpa saya.

"Tapi kita akur dan reda dengan ketentuan Ilahi kerana kita hanya merancang, harapan kami agar perlawanan seterusnya dapat dijalankan seperti biasa selepas ini terutama menentang Kuching City FC (KCFC) di tempat lawan pada 19 Mac ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 2:23 PM