Pemain TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO TFC
Pemain TFC menjalani latihan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melahirkan kekecewaan dengan pembatalan aksi Liga Super pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang sepatutnya dilangsungkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam esok.

Turut ditunda pertemuan pusingan pertama saingan Piala FA juga menentang NSFC pada Ahad depan di stadium yang sama.

Ketua Operasinya, Mohd Sabri Abas menjelaskan pembatalan disebabkan pemain pasukan lawan dijangkiti wabak pandemik Covid-19 adalah kali kedua berturut-turut ketika pemain TFC sudah bersedia sepenuhnya untuk turun dalam aksi pertama itu.

Pada 5 Mac lalu, skuad kendalian Nafuzi Zain terpaksa pulang semula ke Terengganu selepas perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, menentang Sri Pahang FC juga dibatalkan kerana masalah sama.

"TFC begitu kecewa ketika pemain bagaikan tidak sabar untuk turun beraksi selepas persediaan rapi dilakukan sebelum ini.

"Lebih menambah kekecewaan beraksi di tempat sendiri yang sudah pasti pemain dan juga penonton begitu bersemangat selepas aksi pertama menentang Sri Pahang FC juga dibatalkan.

"Namun kita akur dengan pembatalan itu kerana perkara ini boleh terjadi kepada mana-mana pasukan tanpa diduga. Jadi kami dipihak TFC bersimpati dengan ujian yang menimpa pemain NSFC dan mengharapkan mereka segera sembuh untuk meneruskan saingan dalam Liga Super nanti," katanya yang turut mengharapkan semua pemain dapat meningkatkan lagi pematuhan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan lain, beliau juga melahirkan kekecewaan terhadap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menyediakan jadual perlawanan berat sebelah.

"Bayangkan TFC terpaksa beraksi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan pada bulan Ramadan nanti, pada 22 April baharu TFC kembali beraksi di tempat sendiri.

"Kita lihat jadual perlawanan itu tidak adil bagi TFC, tambahan pula tiga aksi terakhir liga juga TFC terpaksa bermain di gelanggang lawan yang sudah tentu boleh memberi kesan dan mempengaruhi pasukan dan juga prestasi pemain.

"Oleh sebab itu kita sudah membuat bantahan kepada MFL dan surat sudah dihantar pada 8 Februari lalu memohon MFL mengubah kembali jadual perlawanan itu.

Bagaimanapun sehingga kini pihak kami belum menerima sebarang maklum balas daripada MFL dan mengharapkan bantahan itu diterima lebih-lebih lagi bulan puasa semakin hampir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 5:57 PM