MBAPPE (kiri) berjaya meledakkan gol penyamaan buat PSG. FOTO EPA
MBAPPE (kiri) berjaya meledakkan gol penyamaan buat PSG. FOTO EPA
AFP

Paris: Kylian Mbappe meledak dua gol hasil hantaran Lionel Messi ketika Paris Saint Germain mempamerkan aksi terpuji bangkit dari ketinggalan mengalahkan Saint Etienne 3-1 dan meneruskan penguasaan mereka di puncak Ligue 1.

Denis Bouanga meletakkan pasukan pelawat yang sedang bergelut di depan di Parc des Princes sebelum Mbappe meledakkan gol penyamaan dan penyerang antarabangsa Perancis itu menambah lagi jaringan sebaik aksi separuh masa kedua bersambung.

Dia kemudiannya mencipta gerakan untuk Danilo Pereira menambah gol ketiga tuan rumah sekali gus membolehkan pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu bangkit selepas kalah 1-3 kepada Nantes di tempat lawan hujung minggu lalu.

PSG ketinggalan tiga gol pada separuh masa pertama ketika mereka menentang Nantes dan mereka dihukum sekali lagi disebabkan permulaan perlahan apabila pemain antarabangsa Gabon, Bouanga menghukum kesilapan Pereira untuk menumpaskan Gianluigi Donnarumma.

Bagaimanapun, tuan rumah berjaya bangkit dan Mbappe meneruskan prestasi terbaiknya sejak kebelakangan ini dengan meledak dua gol untuk membolehkannya mengumpul 24 jaringan dalam semua kejohanan musim ini.

Mbappe sekarang ini sudah menjaringkan 156 gol bersama PSG, menyamai rekod Zlatan Ibrahimovic yang pernah bersama kelab berkenaan selama empat tahun dari 2012 hingga 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 12:03 PM