Pemain NSFC (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain Perak FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Ihsan NSFC.
Pemain NSFC (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain Perak FC dalam aksi persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Ihsan NSFC.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Usaha memantapkan lagi persefahaman antara pemain di bahagian tengah dan serangan, menjadi fokus utama skuad Negeri Sembilan FC (NSFC), menjelang tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini pada 5 Mac depan.

Ketua jurulatih, K Devan berkata, pihaknya mendapati masih ada ruang yang perlu dipertingkatkan lagi di kedua-dua bahagian berkenaan.

"Selepas melihat persembahan pemain dan keputusan dalam aksi persahabatan menentang Perak FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Rabu lalu, saya dapati persefahaman pemain di bahagian tengah dan hadapan perlu dipertingkatkan lagi.

"Malah, usaha mencipta peluang jaringan oleh jentera serangan di hadapan pintu gol juga perlu diperkemaskan bagi memastikan lebih banyak peluang dapat dicipta dan seterusnya berupaya menghasilkan gol," katanya.

Dalam perlawanan pemanas badan itu, kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol apabila perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.

Pengendali berpengalaman yang membawa skuad Hobin Jang Hobin menjulang kejuaraan Liga Perdana musim lalu itu berkata, beliau ternyata berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan anak buahnya yang baharu sahaja dibentuk.

"Walaupun tiada jaringan yang dapat dihasilkan, namun saya puas hati dengan komitmen pemain dan corak permainan kita.

"Saya sedar pemain kadang kala keletihan selepas mereka menentang Selangor II FC, dalam aksi persahabatan, Isnin lalu," katanya.

Pada perlawanan itu, Negeri Sembilan menguji sebahagian pemainnya termasuk lima pemain import mereka iaitu, Herold Guolan, Omid Nazari, Alves Matheus, David Mawutor dan Adetu Kossi.

Pemain tempatan yang turut diuji termasuk Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Nasrullah Hanif Johan, Saiful Ridzuan Selamat, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Khair Muhamed Jefri Jones dan Che Rashid Che Halim.

Skuad Rusa akan meneruskan aksi persahabatan menentang pasukan Kuching City FC di gelanggang yang sama pada 15 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 6:28 PM