Alexandre Lacazette. FOTO Agensi
Alexandre Lacazette. FOTO Agensi
AFP

Lyon: Kelab Perancis, Lyon sedang mempertimbangkan perpindahan buat bekas penyerang mereka, Alexandre Lacazette yang dijual kepada kelab Liga Perdana, Arsenal sekitar empat tahun setengah lalu.

Lacazette menyertai kelab London itu dengan rekod perpindahan kelab 60 juta Euro (RM283.2 juta) pada Jun 2017 dan pemain berusia 30 tahun itu akan menjadi pemain bebas pada musim panas.

"Dia adalah pemain yang kami minati daripada apa yang dipamerkan di kelab ini," kata pengarah bola sepak Lyon, Vincent Ponsot ketika kelab itu memperkenalkan pemain baharu ditandatangani mereka, Romain Faivre dan Tanguy Ndombele.

"Kami melihat kematangan dan kebolehan yang dipamerkannya sejak dia meninggalkan kelab ini dan dia adalah salah seorang pemain yang sentiasa berhubung dengan kelab. Ya, dia adalah pemain yang menarik minat kami."

Presiden kelab, Jean-Michel Aulas menambah: "Kami akan melakukan segalanya yang boleh, ia amat penting bagi kami."

Aulas mengakui sementara kelab itu sering mengidamkan "kepulangan Karim Benzema" dari Real Madrid, dalam keadaan sekarang, kehadiran Lacazette memberi lebih makna.

Lacazette memenangi 16 kap penampilan untuk Perancis, meledak 129 gol dalam 275 perlawanan di semua pertandingan buat Lyon selepas berjaya menempatkan diri dalam skuad utama pada kempen 2009-2010.

Bersama Arsenal dia meledak 70 gol dalam 192 perlawanan, memenangi Piala FA dan menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Europa pada 2018-2019.

Ketiadaan Lacazette dijangka memberikan Arsenal kurang pilihan di barisan serangan, dengan Eddie Nketiah dilaporkan tamat kontrak juga pada penghujung musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 8:38 AM