ALEXANDRE LACAZETTE
ALEXANDRE LACAZETTE
Agensi

LONDON: Pengurus Arsenal, Unai Emery mendedahkan yang dia mahu menandatangani Alexandre Lacazette ketika mengendali Paris Saint-Germain selain menggesa penyerang itu melonjak corak permainannya ke satu tahap lebih baik musim ini.

Lacazette berada pada prestasi terbaiknya bersama Gunners dengan meledak lima gol dan membantu tiga jaringan dalam tujuh perlawanan disertainya sekali gus meneruskan rentak cemerlang kelab untuk menghampiri sembilan kemenangan berturut-turut sebelum menentang Leicester dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi esok.

Bagaimanapun Emery tidak terkejut dengan produktiviti penyerang Perancis itu dan merasakan Lacazette cukup bagus untuk menjadi sebahagian daripada jentera serangan PSG ketika dia mengemudi kelab pada 2016 - namun hubungan antara PSG dan seteru Lyon menafikan persetujuan itu.

“Tahun pertama ketika saya tiba di Paris, kami memikirkan untuk menandatangani Lacazette. Kami menyukai kualiti dan karakter dimilikinya juga di PSG. Semua orang yang bekerja di sana, mereka berkata kepada kami, ini adalah pemain yang mempunyai kualiti untuk bermain di PSG,” kata Emery.

“(Namun) dia ketika itu bermain bersama Olympique Lyon, dan bukan mudah untuk mengikat seorang pemain dari Olympique Lyon ke Paris.”

Emery berkata, dia cuba menandatangani Lacazette ketika pengendali Arsenal itu mengemudi PSG.

Lacazette dan rakan penyerang Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing meledak dua gol pada perlawanan Arsenal baru-baru ini, menang 5-1 ke atas Fulham sebelum rehat antarabangsa selain menikmati hubungan kerjasama yang baik di bawah kendalian Emery.

Lacazette pernah bergelut ketika tiba di Emirates tahun lalu, meskipun sebahagian puncanya adalah kerana kecederaan lutut yang memerlukan pembedahan pada Februari.

Dengan dia kini kembali berada di tahap terbaiknya, Emery berkata dia mahukan yang lebih lagi daripada penyerangnya itu.

“Baginya tahun lalu adalah tahun pertamanya di Liga Perdana, jadi ia satu liga berbeza daripada Perancis,” kata Emery.

“Dia perlu meneruskan penyesuaiannya untuk kami dan juga Liga Perdana. Namun saya fikir tahun ini kami memberi tumpuan kepadanya untuk melonjak ke satu tahap lebih baik.

“Kami sangat gembira (dengannya), tetapi mesej saya kepada dia: setiap hari, jangan berhenti. Jangan berhenti berlatih, jangan berhenti dalam perlawanan, terus mencari prestasi terbaik.

“Bukan saja dalam setiap perlawanan, setiap minit dalam 90 minit permainan. Saya fikir dia sedang melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 8:15 AM