TOMAS Trucha. FOTO Mikail Ong
TOMAS Trucha. FOTO Mikail Ong
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Penang FC, Tomas Trucha percaya kehadiran seorang lagi pemain import akan menjadi gandingan terbaik Casagrande untuk memantapkan lagi bahagian serangan dalam saingan Liga Super 2022.

Malah, beliau tidak menolak Penang akan membawa masuk seorang penyerang import dalam masa terdekat di mana pemain yang masih lagi dirahsiakan itu akan menambah kekuatan pasukan selepas Casagrande juga menampilkan aksi cemerlang dengan 12 jaringan pada musim lalu.

Jurulatih dari Republik Czech itu berkata, beliau tidak mahu tumpuan hanya diberikan kepada Casagrande sahaja sebagai penggempur kerana percaya meskipun tanpa kelibatnya, pemain lain tetap mampu menghasilkan gol bagi membantu pasukan memperoleh keputusan positif pada musim ini.

"Sebelum ini saya pernah katakan tidak mahu bergantung kepada Casagrande sahaja sebab ada juga pemain lain yang boleh jaringkan gol.

"Kita akan membawa masuk seorang lagi penyerang di mana dia akan bersama-sama dengan Casagrande untuk beraksi, dan dia juga akan dapat membantu dengan lebih kerap di bahagian serangan sekiranya salah seorang daripada mereka cedera atau sebagainya.

"Sekarang saya juga ingin menekankan bagaimana pemain-pemain ini perlu ada skil untuk menjaringkan gol dan boleh memberikan penyudah berkesan," katanya.

Penang FC ketika ini mengekalkan tiga pemain import mereka iaitu Casagrande, Rafael Vitor dan Endrick dos Santos di mana pasukan kini masih menanti dua lagi pemain import yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengikut rekod, Penang FC mengakhiri saingan Liga Super musim 2021 di kedudukan ketiga dengan mengumpul 41 mata.

Pencapaian terbabit cukup membanggakan berikutan Penang FC sebelum itu beraksi di Liga Perdana pada musim 2020 namun mampu memberi saingan sengit kepada pasukan bertaraf gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 2:37 PM