Syazwan Msar

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pengurusan bola sepak di negara ini mengikuti 'cara kerja' pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Vietnam dalam usaha memastikan pasukan kebangsaan mencapai kejayaan gemilang.

Beliau yang juga peminat Chelsea berkata, pasukan EPL itu cukup terkenal memiliki ekosistem bola sepak sistematik terutama dari aspek pembangunan akar umbi hingga mereka mampu mencapai kejayaan.

"Akademi mereka (Chelsea) mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.

"Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu. Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini.

"Begitu juga dengan pasukan Vietnam. Pada tahun 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

"Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal. Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalin kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam," katanya, ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Malaysia juga mampu melahirkan pemain yang bagus dan berbakat besar jika berjaya memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri.

"Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata.

"Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal," katanya.

Ismail Sabri Yaakob berucap di majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ismail Sabri Yaakob berucap di majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat FAM di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:10 PM