LAKARAN dan peta NTC yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya.
LAKARAN dan peta NTC yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya.
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) sebahagian daripada perancangan penubuhan bandar bola sepak yang dilaksanakan di atas tanah berkeluasan 5.3 hektar, di Presint 5, Putrajaya.

Projek berkenaan keseinambungan daripada pembinaan ibu pejabat baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan majlis pecah tanah disempurnakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2022.

Penubuhan bandar bola sepak itu menelan belanja hampir RM80 juta dengan kawasan berkenaan bakal mempunyai stadium bola sepak moden dengan kapasiti penyokong 35,000 tempat duduk.

Mengikut perancangan, turut dibina bangunan baharu FAM setinggi lima tingkat dan terletak bersebelahan ibu pejabat Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) di Bandar Bola Sepak Putrajaya.

FAM yang berpangkalan di Wisma FAM di Kelana Jaya sejak 1980, dijangka memindahkan semua operasi dan tadbir urus ke ibu pejabat baharu itu kelak.

KAWASAN tapak projek yang bakal dibina NTC di Presint 5, Putrajaya.
KAWASAN tapak projek yang bakal dibina NTC di Presint 5, Putrajaya.

Berdasarkan tinjauan Arena Metro, tapak ibu pejabat dan pusat latihan kebangsaan ini adalah 2 lokasi yang berbeza namun masih berada berdekatan di antara satu sama lain dan dianggarkan sekitar 5 minit perjalanan menggunakan kereta.

Sebelum ini, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pernah memaklumkan tujuan utama pembinaan pusat latihan berkenaan adalah menyediakan kemudahan latihan bertaraf dunia menepati tuntutan moden bertujuan memberi suasana prestasi tinggi demi kegunaan pasukan elit tanpa mengetepikan komuniti Putrajaya.

"Kita akan buat pembangunan baharu membabitkan kemudahan lengkap dengan pembinaannya dijangka bermula pada tahun depan.

"Wisma FAM nanti yang mengikut model pejabat atau bangunan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mempunyai ruang pejabat, hostel untuk pegawai serta pemain termasuklah pusat rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 10:10 PM