KHAIRULAZHAN (kiri) dan Faisal (tengah) menjalani latihan buat kali pertama hari ini. FOTO FAM
KHAIRULAZHAN (kiri) dan Faisal (tengah) menjalani latihan buat kali pertama hari ini. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Singapura: Sentuhan tiga pemain yang dikuarantin sebelum ini diharapkan tidak 'berkarat' apabila turun semula menyertai latihan di padang, hari ini.

Dua daripada tiga pemain iaitu Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim tidak pernah menyertai sesi latihan bersama pasukan sejak tiba di Singapura pada 3 Disember lalu selepas didapati positif Covid-19 dan diasingkan selama 10 hari.

Seorang lagi pemain, Quentin Cheng sempat turun berlatih dalam beberapa sesi sebelum dikuarantin pada 9 Disember.

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe akan menilai prestasi dan tahap kecergasan mereka bertiga, yang disandarkan untuk menguatkan pasukan apabila menentang Indonesia di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

"Walaupun kita setiap hari memantau latihan ketika dikuarantin dari segi tahap kecergasan dan latihan secara online di bilik, ia tetap tidak sama.

"Latihan di online secara individu dan latihan secara berpasukan (di padang) adalah berbeza kerana suasana pasukan lebih ceria dan bermotivasi.

"Harap petang ini tiga-tiga pemain ini dapat berlatih dalam keadaan terbaik," katanya yang gembira dengan kehadiran semula tiga tonggak itu.

Selain tiga pemain itu, seorang lagi pemain lincah negara, Akhyar Rashid masih lagi dalam pemantauan pihak berkuasa kesihatan Singapura selepas Akhyar turut didapati positif Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 6:27 PM