DOMINIC (kanan) dijangka bergandingan bersama Cools di bahagian pertahanan tengah menjelang aksi menentang Indonesia Ahad ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
DOMINIC (kanan) dijangka bergandingan bersama Cools di bahagian pertahanan tengah menjelang aksi menentang Indonesia Ahad ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Singapura: Tembok akhir skuad Harimau Malaya kini diletakkan di bahu dua tonggak muda, Dion Cools dan Dominic Tan menjelang perlawanan 'hidup mati' menentang Indonesia di Stadium Nasional Singapura, di sini, Ahad ini.

Peralihan tanggungjawab itu diberikan susulan dua pemain senior iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Saad sah tidak sempat pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami ketika menentang Vietnam, Ahad lalu.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan berat itu terpaksa dibuat selepas beliau mendapatkan pengesahan daripada pegawai perubatan yang Aidil dan Shahrul perlukan direhatkan untuk tempoh lebih lama.

Jelasnya, kehilangan dua 'kereta kebal' itu cukup dirasai namun beliau yakin Cools, 25, dan Dominic, 24, mampu mengisi kekosongan itu.

Ujarnya lagi, Cools yang akan tiba di sini pada Khamis ini, harus segera mencari keserasian bersama Dominic dengan sasaran pasukan adalah memburu tiga mata bagi membolehkan pasukan mara ke separuh akhir dari Kumpulan B.

"Memang kita rasa kehilangan kedua-dua tonggak utama Aidil dan Shahrel beri kesan yang banyak kepada pasukan kerana kedua-duanya menjadi tonggak utama kepada skuad negara dalam beberapa siri kebelakangan ini.

"Sudah tentu kita harap Cools dan Dominic dapat bergabung dengan baik dan kita harap Cools ini dapat beri sesuatu kepada pasukan dari segi pengalaman dia.

"Kita nampak dia (Cools) boleh membantu setiap sudut dalam pasukan, dan terutama sekali situasi sekarang kita kehilangan ramai tonggak, dan harap sesiapapun (pemain) yang diturunkan atau simpanan bersedia dengan situasi semasa," katanya.

Malaysia wajib menang ke atas skuad Garuda selepas memungut enam mata daripada tiga aksi.

Skuad negara yang juga naib juara edisi lalu memulakan kempen dengan bergaya apabila meledak tujuh gol dalam dua aksi dengan menewaskan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.

Begitupun rentak cemerlang itu dihentikan oleh Vietnam yang menewaskan pasukan negara 0-3 untuk meletakkan skuad kendalian Cheng Hoe dalam situasi wajib menang ke atas Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 3:19 PM