REAKSI  Claesson selepas menjaringkan gol kemenangan Sweden. FOTO EPA
REAKSI Claesson selepas menjaringkan gol kemenangan Sweden. FOTO EPA
AFP

Stockholm: Viktor Claesson muncul wira Sweden yang menewaskan Sepanyol 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia untuk kemenangan ketiga dalam tiga perlawanan sekali gus menduduki tempat teratas Kumpulan B.

Pemain tengah Valencia, Carlos Soler yang tampil kali pertama bersama Sepanyol mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan pada minit ke-4 sebelum pantas disamakan Alexander Isak seminit selepas itu dalam aksi di Stockholm.

Claesson meledak gol kemenangan pada awal babak kedua bagi memastikan Sweden mengekalkan rekod 100 peratus dan dua mata mengatasi Sepanyol selain berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

"Saya fikir kami lebih baik daripada yang dijangkakan. Malah kami boleh menang dengan jaringan lebih besar. Saya bangga, kami benar-benar bagus,'' kata sayap Sweden, Dejan Kulusevski.

Kekalahan skuad Luis Enrique meningkatkan risiko beraksi di playoff dengan hanya juara kumpulan layak automatik ke final Piala Dunia 2022 di Qatar.

"Kami tak sepatutnya kalah,'' kata pertahanan Sepanyol, Jordi Alba. "Babak pertama cemerlang tetapi memalukan apabila mereka pantas menyamakan kedudukan.''

"Kami tak boleh buat kesilapan lagi. Kami perlu perbaiki beberapa aspek. Ada banyak lagi perlawanan yang sukar dan kami perlu menang.''

Sepanyol akan berdepan Greece di tempat sendiri pada Ahad ini. Naib juara dari 10 kumpulan akan beraksi di playoff bersama dua pasukan dari Liga Negara-Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 8:46 AM