AKSI Ronaldo ketika menentang Perancis di Paris. FOTO AFP
AKSI Ronaldo ketika menentang Perancis di Paris. FOTO AFP
AFP

London: Dejan Kulusevski menegaskan Cristiano Ronaldo tidak akan dapat disekat ketika kedua-dua rakan sepasukan di Juventus itu bertemu dalam saingan Liga Negara-Negara, awal pagi Khamis.

Ronaldo dan Portugal menerima kunjungan Kulusevski dan pasukannya, Sweden di Lisbon dalam aksi Liga A, Kumpulan 3.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Portugal menewaskan Sweden 2-0 pada September lalu.

Bintang Sweden, Kulusevski yang beraksi bersama Ronaldo di Juventus mengakui mereka bakal berdepan masalah untuk mengekang kelincahan kapten Portugal dan penjaring terbanyak sepanjang zaman itu.

"Tiada siapa mampu menyekatnya. Jika kena dengan harinya, Ronaldo membuat semua keputusan sendiri,'' kata Kulusevski.

"Kami gagal menyekatnya pada aksi terakhir tetapi kami mempunyai peluang sekali lagi Rabu ini.

"Saya tak tahu cara menyekatnya. Anda perlu lebih agresif untuk membuatkan dia kecewa. Saya pernah kecewa dengan cara itu.''

Portugal kini menduduki tangga teratas Kumpulan 3 dengan Perancis di tangga kedua berdasarkan perbezaan gol selepas meraih tujuh mata daripada tiga perlawanan. Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan di Paris, kelmarin. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 6:27 PM