REAKSI  Klaassen selepas meledak gol penyamaan Belanda.
REAKSI Klaassen selepas meledak gol penyamaan Belanda.
Agensi

Oslo: Louis van Gaal memberi amaran kepada pasukan Belanda supaya memperbaiki kelemahan sebelum boleh menganggap mereka antara pasukan terbaik dunia.

Skuad Oranje seri 1-1 dengan Norway dalam kelayakan Piala Dunia Kumpulan G yang juga aksi pertama Van Gaal pada penampilan ketiga sebagai jurulatih negaranya.

Erling Haaland membuka tirai jaringan di Ullevaal Stadion tetapi Davy Klaassen menyamakan kedudukan pada babak pertama sekali gus membolehkan Belanda dan Norway satu mata di depan pendahulu Kumpulan G, Turki yang seri 1-1 dengan Montenegro.

Van Gaal tidak gembira dengan prestasi pasukannya dan menggesa pemain lebih kreatif.

"Kami mungkin anggap pasukan Belanda antara yang terkuat di dunia tetapi hakikatnya tidak,'' katanya kepada NOS. "Kami perlu berfungsi sebagai satu pasukan. Norway beraksi sangat baik sebagai satu pasukan. Anda perlu lebih kreatif, aspek yang gagal kami lakukan hari ini.

"Kami cuai dan hilang bola dengan cara tak sepatutnya. Mungkin kerana lawan tangkas bertahan. Ia bukan mudah tetapi anda perlu lebih kreatif untuk menguasai bola tetapi gagal dalam aspek itu.

"Saya fikir Norway melakukan tugas mereka dengan fantastik. Kami cuai dan sepatutnya tidak berlaku tetapi mungkin juga berpunca daripada corak permainan Norway.''

Belanda akan menentang Montenegro dalam aksi seterusnya di tempat sendiri pada Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 9:54 AM