REAKSI pasukan Belanda pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
REAKSI pasukan Belanda pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

The Hague: Kapten Belanda, Virgil van Dijk membidas prestasi rakan sepasukannya pada separuh masa kedua ketika seri 2-2 di Montenegro apabila menyifatkannya sebagai 'teruk' dan 'mengejutkan' sekali gus terpaksa menunggu lagi untuk layak ke Piala Dunia.

Belanda berpeluang untuk layak ke Qatar tahun depan jika dapat melakar kemenangan di Podgorica dan mereka dilihat mampu melakukannya selepas mendahului 2-0 menerusi jaringan Memphis Depay.

Bagaimanapun, Ilija Vukotic yang melakukan penampilan kali pertama, menjaringkan gol minit ke-82 untuk memberikan harapan kepada penyokong tuan rumah dan empat minit kemudian, Nikola Vujnovic menyamakan kedudukan.

"Cara kami beraksi pada separuh masa kedua sangat mengejutkan," kata bintang Liverpool, Van Dijk kepada stesen penyiar Belanda, NOS.

"Kami sering mahu menguasai bola, menyerang dan menjaringkan gol. Tetapi bola sepak juga dikenali dengan cara bagaimana untuk bertahan.

"Itulah yang kami gagal lakukan hari ini. Persefahaman antara kami sangat teruk. Kami sepatutnya sudah layak ke Piala Dunia."

Belanda masih lagi mengungguli Kumpulan G tetapi hanya berkelebihan dua mata berbanding Turki yang membelasah Gibraltar 6-0.

Belanda akan menanti kunjungan Norway di Rotterdam awal pagi Rabu pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan manakala Turki berkunjung ke Montenegro.

"Kini kami akan bertemu Norway di stadium yang kosong. Kami perlu mempamer aksi lebih baik berbanding hari ini," kata Van Dijk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 8:18 AM