PEMAIN Kedah, Sherman (kanan) mengasak pemain Melaka United FC, Faris Shah (tengah)  di Stadium Hang Jebat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
PEMAIN Kedah, Sherman (kanan) mengasak pemain Melaka United FC, Faris Shah (tengah) di Stadium Hang Jebat, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) muncul juara kumpulan C, Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 2-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Melaka yang hanya memerlukan satu mata untuk mengekalkan kedudukan teratas jelas beraksi bertenaga untuk memerangkap dan membenam pelawat.

Malah anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan berjaya merencana gerakan menarik untuk melakukan beberapa percubaan awal termasuk menerusi Sony Norde pada minit kelapan rembatannya tinggi melepasi palang gol.

Bagaimanapun, Manuel Ott akhirnya berjaya meledak jaringan pertama pasukannya pada minit ke-24 untuk menerbitkan motivasi tinggi skuad terbabit dalam perlawanan terakhir kumpulan C.

Gol terbabit berpunca daripada rembatan Norde yang ditepis keluar penjaga gol Ifwat Akmal Chek Kassim namun singgah di kaki Ott yang terus melakukan rembatan ke kiri gawang Kedah untuk jaringan pertama tuan rumah.

Selebihnya babak pertama menyaksikan penguasaan skuad Hang Tuah namun gagal menambah jaringan sementara Kedah turut melakukan percubaan menerusi Renan Alves pada minit ke-30 namun tersasar.

Bersambung babak kedua Melaka terus mengekalkan tempo permainan seperti 45 minit pertama namun dua percubaan Giovane Gomes pada minit ke- 50 dan 51 tersasar.

Bagaimanapun, pelawat memiliki percubaan terbaik menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu menerusi rembatan jauh kapten pasukan Baddrol Bakhtiar tetapi sekadar menggegar palang gol Melaka.

Namun mereka tetap gigih berusaha memecah kebuntuan jaringan namun percubaan menarik Kpah Sherman pada m-57 berjaya ditepis keluar penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menghampakan Kedah.

Usaha anak buah jurulatih Aidil Sharin Sahak menebus kekalahan 1-3 di Alor Setar gagal direalisasikan selepas keupayaan Melaka yang bijak mengekalkan momentum tanpa kalah sepanjang saingan kumpulan terbabit.

Sebaliknya Gomes menambah derita pelawat selepas menjaringkan gol kedua Melaka selepas menanduk cantik ke dalam jaringan Kedah pada m-89 menerusi hantaran Adriano.

Keserasian dan persefahaman yang lebih jitu buat Melaka berbanding pada saingan liga jelas memperlihatkan kesukaran pelawat untuk meledak jaringan malah untuk bangkit dengan kemenangan.

Keputusan itu cukup buat Melaka mengelak berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir sekali gus meletakkan Kedah bakal bertemu Harimau Selatan pada peringkat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 11:12 PM