SKUAD Maloney bakal tampil kekuatan sebenar di Mongolia.
SKUAD Maloney bakal tampil kekuatan sebenar di Mongolia.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan untuk melihat skuad muda negara layak secara merit ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23) di Uzbekistan tahun depan kembali menyala selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menghantar skuad terbaik di peringkat kelayakan di Mongolia, Oktober ini.

Menerusi mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung hari ini, badan induk itu membuat pusingan 'U' apabila sebelum ini mengesahkan akan menghantar skuad B-20 tahun untuk menghadapi kelayakan itu yang di mana skuad negara diletakkan dalam Kumpulan J bersama Thailand, Laos dan tuan rumah, Mongolia.

Justeru, dengan perubahan terbaru itu, maka peluang skuad kendalian Brad Maloney bersaing dengan tiga lagi lawan dilihat setara selepas FAM memutuskan untuk menghantar skuad B-22 di kelayakan itu.

"Tapi kita fokus untuk layak ke pusingan akhir kejuaraan AFC, jadi kita akan menghantar pasukan yang terbaik," kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media secara maya, hari ini.

Bagaimanapun, Hamidin menjelaskan, badan induk itu tidak boleh memaksa kelab atau pasukan untuk melepaskan pemain muda mereka bagi bersama skuad B-22 negara di mana kempen kelayakan itu tidak berada dalam kalender aksi antarabangsa Fifa.

Maka, beliau mahu Maloney memantau lebih menyeluruh potensi pemain muda di dalam mahupun di luar negara untuk menyertai skuad negara di kelayakan itu nanti.

"Tapi kena ingat mungkin kelab ada pertandingan masa itu macam liga (Liga Malaysia) atau Piala Malaysia yang masih berjalan, jadi mereka (kelab) berhak untuk benarkan sertai skuad negara atau tidak kerana hanya pasukan senior sahaja yang boleh berlatih dalam kalender Fifa.

"Jadi maknanya pihak jurulatih dan pasukan perlu bersedia untuk ambil pemain dan juga pemain B-22 yang terbaik untuk kita bawa, jadi di situ ada sedikit pembaharuan. Saya bagi contoh Luqman Hakim (pemain KV Kortrijk di Liga Belgium), Arif Aiman (pemain JDT) atau Mukhairi Ajmal dari Selangor, kalau kelab melepaskan kita akan gunakan pemain-pemain ini, dan kalau tak lepaskan itu adalah hak kelab untuk mereka bermain dengan kelab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 9:28 PM