PEMAIN tengah Tottenham,  Oliver Skipp mengasak pemain City, Raheem Sterling di London. FOTO AFP
PEMAIN tengah Tottenham, Oliver Skipp mengasak pemain City, Raheem Sterling di London. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester City menampilkan pasukan termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris ketika menentang Tottenham awal pagi tadi dengan jumlah keseluruhan pemain bernilai £528.9 juta (RM3.109 bilion).

Skuad Pep Guardiola turut mempunyai bintang terbaharu mereka yang berharga £100j (RM587.96j), Jack Grealish manakala nilai barisan pemain simpanan mencecah £300 juta (RM1.763 bilion).

Penjaga gol City untuk aksi pertama mereka ialah Ederson Moraes yang dibeli dari Benfica dengan harga £34.9j (RM205.20j) pada Jun 2017.

Pertahanan kanan, Joao Cancelo berpindah dari Juventus dengan harga £60j (RM352.77j) manakala bekas pemain Monaco, Benjamin Mendy yang bernilai £49.3j (RM289.86j) beraksi di sebelah kiri.

Ruben Dias berharga £64.5j (RM379.23) dibeli pada September 2020 bergandingan dengan Nathan Ake bernilai £40j (RM235.18j) di bahagian pertahanan tengah.

Selain Grealish yang memperkasakan jentera tengah ialah Fernandinho yang dimiliki dengan harga £30j (RM176.39j) pada 2013 dan pemain termurah, Ilkay Gundogan berharga £20.4j (RM119.94j).

Tampil di bahagian sayap kiri dalam skuad Guardiola ialah Raheem Sterling yang berharga £49j (RM288.10j) manakala bahagian kanan diperkuatkan Riyad Mahrez yang berharga £60j (RM352.77j).

Melengkapkan barisan kesebelasan ialah Ferran Torres yang dibeli dari Valencia dengan harga £20.8j (RM122.29j) pada Ogos 2020 sekali gus jumlah keseluruhan skuad City £528.9j (RM3.109 bilion) namun masih tidak mampu menewaskan pencabar Liga Europa, Tottenham semalam!.

Rembatan cantik Son Heung-Min pada babak kedua menghadiahkan kemenangan mengejut kepada tuan rumah kendalian Nuno Espirito Santo dalam aksi pertamanya sebagai pengurus di Liga Perdana Inggeris.

Barisan simpanan City turut memiliki deretan pemain mahal dengan pertahanan kanan Kyle Walker (RM293.69j), pertahanan tengah John Stones (RM279j) dan penyerang berharga RM168j, Gabriel Jesus.

Manakala pemain serba boleh Oleksandr Zinchenko (RM9.98j), penjaga gol gantian Zack Steffen (RM29.36j) dan pemain tengah pula Aymeric Laporte bernilai RM334j.

Melengkapkan barisan simpanan ialah pemain tengah Rodri berharga RM367j, bintang Belgium Kevin De Bruyne (RM317j) dan sayap, Bernardo Silva (RM252j) untuk jumlah keseluruhan RM1.734 bilion.

Malah nilai keseluruhan pemain City bakal meningkat lagi jika mereka berjaya memiliki Harry Kane dalam masa beberapa minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:11 PM