ROBERT Lewandowski sasaran Chelsea. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski sasaran Chelsea. FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea akan menamatkan pemburuan untuk mendapatkan Erling Haaland dan mengalihkan tumpuan kepada penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski dalam usaha mendominasi Liga Perdana di bawah bimbingan Thomas Tuchel.

The Blues yang menewaskan Manchester City di Porto untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu, bersedia untuk memperkuatkan pasukan selepas membelanjakan £200 juta (RM1.15 bilion) pada musim panas lalu.

Tuchel yang sudah pun ditawarkan kontrak baharu, bakal menyaksikan jentera serangannya lebih tajam selepas kelab menggesa untuk mencari penyerang baharu.

Dengan Olivier Giroud menyertai AC Milan, kelab itu cuba untuk mendapatkan Haaland dari Dortmund namun mereka enggan menjual pemain itu.

The Sun melaporkan Chelsea kini mengalih tumpuan kepada Lewandowski yang berada pada kemuncak prestasi di sebalik 12 tahun lebih tua berbanding Haaland.

Pemain berusia 32 tahun itu menjaringkan tiga gol di Euro 2020 ketika Poland teringkir pada peringkat kumpulan.

Sebelum itu dia berjaya menjaringkan 41 gol pada saingan liga sepanjang 29 penampilan musim lalu dan 48 gol untuk di semua pertandingan.

Chelsea dilaporkan mahu membuat bidaan sekitar £50 juta (RM289 juta) tetapi Bayern dijangka akan melanjutkan kontraknya sehingga 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 8:15 PM